Pertumbuhan pendapatan SDS Group dijangka terus kukuh disokong peningkatan permintaan produk bakeri – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan SDS Group dijangka terus kukuh disokong peningkatan permintaan produk bakeri – RHB Investment

[Foto FB SDS Bakery & Cafe]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - RHB Investment menilai saham SDS Group Berhad pada nilai saksama (FV) RM1.01 sesaham dan berkata ia menjangkakan pertumbuhan pendapatan kumpulan terus kukuh disokong oleh permintaan untuk produk bakeri yang semakin meningkat.

 

Firma penyelidikan itu berkata kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun kumpulan yang mantap iaitu 13% sepatutnya diperkukuh oleh pengembangan yang teguh dalam kedua-dua bahagian operasinya bagi memanfaatkan peningkatan permintaan untuk produk bakeri.

 

“Saham ini diniagakan pada penilaian yang murah, meskipun ia mempunyai rekod prestasi mantap dalam mencatat pertumbuhan pendapatan dan asas-asas kewangan yang kukuh (kunci kira-kira teguh, pasukan pengurusan berpengalaman).

 

“Selain itu, ia juga meraih manfaat daripada penggunaan berdaya tahan untuk produk bakeri sebagai makanan ruji,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi perniagaan borong, RHB Investment berkata kapasiti ditingkatkan bagi menembusi pasaran dengan lebih mendalam, di mana kumpulan itu sedang mengembangkan barisan penghantaran dan rangkaian pusat pengedarannya demi menambah lokasi penghantaran dan meluaskan capaiannya kepada lebih banyak pengguna.

 

“Peranan lebih kecil yang ia mainkan berbanding syarikat-syarikat lebih besar dalam industri memberi manfaat kepadanya, kerana ia membuka ruang untuk SDS Group menembusi lagi lokasi luar bandar yang tidak diutamakan oleh syarikat-syarikat besar.

 

“Tambahan lagi, kumpulan itu telah melihat keputusan positif selepas pelancaran produk baharunya untuk menawan pengguna dan juga meningkatkan nama jenamanya,” katanya

 

Di samping itu, firma tersebut berkata kenaikan harga bagi mengekalkan jurang harga dengan pesaing besar seharusnya membantu memelihara margin pada kadar semasa, sambil disokong lagi oleh kos input yang kian stabil.

 

Bagi perniagaan runcitnya pula, RHB Investment percaya pihak pengurusan sedang mengambil langkah berhemah untuk pengembangan, dengan menyasarkan pembukaan tiga hingga lima kedai baharu setiap tahun.

 

Syarikat ini terus melihat kehadiran peluang di Johor (33 cawangan) bagi memanfaatkan nilai jenamanya yang kukuh, manakala kuasa perbelanjaan pengunjung dari Singapura juga menjadi pemacu utama.

 

Dengan itu, model perniagaannya yang terbukti berkesan dalam tawaran makanan bakeri dan kafe berkualiti pada harga munasabah dilihat cukup kukuh untuk diguna pakai dalam pasaran Kuala Lumpur dan Selangor yang besar (empat cawangan) bagi meluaskan jejak operasi runcitnya.

 

“Kami juga menyukai format hibrid yang menggabungkan bakeri dan kafe dalam satu kedai yang sama (17 cawangan). Format ini menawarkan peluang untuk jualan silang dan kemudahan kepada pengguna,” tambahnya.

 

Setakat pukul 9:44 pagi ini, saham SDS Group menokok 1 sen atau 1.4% kepada 72.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM297 juta. - DagangNews.com