Pertumbuhan untung bersih Apex Healthcare diunjur mendatar pada FY24 – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan untung bersih Apex Healthcare diunjur mendatar pada FY24 – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih Apex Healthcare Berhad pada tahun kewangan 2024 (FY24) mendatar berbanding tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata hal demikian terutamanya disebabkan oleh sumbangan pendapatan lebih rendah daripada syarikat bersekutunya Straits Apex, iaitu sebuah perniagaan ortopedik, selepas kumpulan itu melupuskan kepentingan efektifnya dalam syarikat tersebut kepada 16% daripada 40% pada Mei 2023.

 

Mengulas tentang prestasi suku ke suku pula, AmInvestment berkata, meskipun kes COVID mencatat peningkatan baru-baru ini, anak syarikat kumpulan itu, Xepa-Soul Pattinson (Malaysia) (Xepa) menjangkakan bahawa permintaan untuk ubat selesema dalam suku keempat 2023 tidak akan meningkat secara material, mungkin disebabkan oleh simptom yang lebih ringan.

 

“Oleh itu, kami berpegang pada pendirian bahawa hasil dan pendapatan boleh menjadi lebih rendah memandangkan permintaan untuk produk farmaseutikal (terutama ubat-ubatan yang berkaitan dengan selesema) boleh menyederhana, seiring dengan penurunan kes selesema Malaysia dalam suku keempat 2023,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selepas lawatan ke kilang Xepa, AmInvestment mengekalkan unjuran pendapatan Apex Healthcare bagi FY23-25 kerana sasaran Xepa kekal selaras dengan andaian firma.

 

Xepa terlibat dalam pembangunan, pembuatan dan pemasaran produk farmaseutikal luar paten/generik dan peranti perubatan dan mempunyai kampus di Kawasan Perindustrian Cheng, Melaka, merangkumi tapak seluas 4 hektar dengan keluasan binaan 38,249 meter persegi.

 

Kampus tersebut terdiri daripada tujuh kemudahan termasuk makmal, kilang pengeluaran cecair (LPP), tiga kilang pengeluaran pepejal (SPP Novo, SPP 1 dan SPP 2), gudang dan pejabat.

 

Menurut firma itu, kadar penggunaan kilang terkini untuk SPP Novo, SPP 1, SPP 2 dan LPP di kampus adalah 70%, iaitu kadar optimum.

 

“Ia tidak berjalan pada 100% kerana menyimpan penimbal untuk tempahan segera dan untuk tujuan penyelenggaraan. SPP Novo masih mempunyai ruang untuk empat barisan tambahan untuk usaha pengembangan sehingga FY30, yang boleh menggandakan kapasiti semasa untuk pil dan kapsul, berdasarkan anggaran kami,” katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, memandangkan LPP sedang digunakan secara optimum, Xepa berhasrat untuk memperbesarkan kilang sedia ada di atas tanah seluas 8.38 hektar.

 

“Tanah itu baru-baru ini diperoleh pada Disember 2023 dan terletak 400 meter dari kampus Xepa. Buat masa ini, Xepa tidak memberikan garis masa yang tepat untuk pengembangan LPP,” tambahnya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) sebanyak RM2.65 sesaham.

 

 Pada pukul 3:35 petang ini, saham Apex Healthcare menokok 1 sen atau 0.4% kepada RM2.59 dengan permodalan pasaran bernilai RM1.86 bilion.

 - DagangNews.com