KUALA LUMPUR 31 Julai - Kenanga Research menjangkakan jumlah pesakit domestik dan antarabangsa akan terus berkembang pada tahun 2024 dengan kadar pengisian katil (BOR) KPJ Healthcare Berhad diunjur bertambah kepada 72%, berbanding 67% pada tahun kewangan 2023 (FY23).
Kenanga Research sehubungan itu mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap keseluruhan sektor penjagaan kesihatan, disokong oleh jumlah pendapatan yang tinggi dan peningkatan warga emas di Malaysia.
"Kami menjangkakan aliran pesakit domestik dan antarabangsa akan terus berkembang, sementara intensiti hasil akan meningkat, didorong oleh campuran kes yang tinggi hasil dengan lebih banyak kes akut.
"Penambahan katil baru akan meningkatkan kecekapan operasi, pengoptimuman kos, dan penyerapan overhed. Begitu juga, kami melihat jualan farmaseutikal dan ubat-ubatan over-the-counter (OTC) yang kukuh disokong oleh peningkatan kesedaran kesihatan.
"Pilihan utama kami untuk sektor ini adalah IHH, saranan Outperform dengan harga sasaran (TP) RM7 sesaham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Kenanga Research optimis lima hospital KPJ yang masih dalam proses pembangunan dengan kerugian berjumlah RM137 juta pada FY23 akan berkurangan separuh pada FY24, yang akan menjadi RM69 juta atau 25% daripada keuntungan bersih jangkaan FY24.
Katanya, ini disokong oleh hasil tambahan daripada peningkatan aliran pesakit dan pendapatan KPJ juga akan didorong oleh katil baru dan peningkatan kecekapan operasi.
"Ia menjangkakan pendapatan akan semakin meningkat memasuki FY24 dengan kecekapan operasi yang lebih baik hasil daripada usaha pengoptimuman kos dan penyerapan overhed melalui penambahan katil baru (+10%), yang telah diambil kira dalam ramalan kami.
"Kami juga menyukai KPJ kerana kuasa penetapan harganya sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta dan kedudukannya yang kuat di pasaran tempatan dengan rangkaian terbesar iaitu 28 hospital swasta (berbanding 16 hospital milik pemain terbesar seterusnya, IHH).
"Namun, asas-asas ini telah dinilai dalam kenaikan harga sahamnya baru-baru ini," jelasnya yang memberikan harga sasaran (TP) RM1.95 sesaham dengan saranan Marketperform. - DagangNews.com