Pesona Metro raih kontrak bernilai RM180.8 juta bina Ibu Pejabat FINAS | DagangNews Skip to main content

Pesona Metro raih kontrak bernilai RM180.8 juta bina Ibu Pejabat FINAS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Pesona Metro Holdings Berhad menerima kontrak pembinaan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bernilai RM180.8 juta daripada MRCB Builders Sdn. Bhd. 

 

Kerja-kerja pembinaan itu melibatkan satu blok menara pejabat 16 tingkat serta tiga podium ruang kemudahan pementasan di atas dua tingkat, ruang letak kereta di atas lot 67066, Jalan PJU 10/1E, Damansara Damai di daerah Petaling Jaya. 

 

Pelaksanaan projek itu merangkumi penyiapan kerja bangunan utama, kerja luaran serta bahagian luar sempadan.

 

"Projek berkenaan perlu disempurnakan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh pemilikan tapak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, risiko berkaitan dengan projek adalah berkaitanoperasi seperti risiko penyiapan, dan risiko kredit.

 

Kumpulan itu akan memastikan pematuhan ketat kepada prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan projek untuk meminimumkan sebarang pendedahan risiko operasi.

 

Di samping itu, pendedahan kepada risiko kredit dipantau secara berterusan dan tindakan akan diambil untuk sebarang hutang tertunggak yang lama.

 

"Projek tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan meningkatkan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek," katanya. - DagangNews.com