Pestech catat kerugian bersih RM60.6 juta bagi suku keempat berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Pestech catat kerugian bersih RM60.6 juta bagi suku keempat berturut-turut

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pestech International Berhad telah mencatat kerugian bersih RM60.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding keuntungan bersih RM6.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, kerugian bagi suku keempat berturut-turut.

 

Pendapatan kumpulan bagi suku dalam tinjauan berakhir 31 Mac 2023 ini turut menyusut 49.5% kepada RM97.26 juta daripada RM192.6 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2022 (3QFY23), manakala pendapatan sesaham (EPS) rugi 6.15 sen daripada positif 0.69 sen.

 

“Pendapatan merosot pada suku semasa terutamanya akibat sumbangan lebih rendah daripada Bahagian kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dan Pencawang jangka panjang, dan penyiapan satu projek rel serta pelupusan aset konsesi,” jelas Pestech dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Selain pendapatan lebih rendah, kumpulan itu berkata kerugian pada suku semasa juga disebabkan oleh ketiadaan kewangan daripada aset konsesi di samping kenaikan faedah dan ancaman inflasi yang semakin hampir, telah menjejasnya dari segi kewangan dan juga operasi.

 

Secara kumulatif, sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) menyaksikan kerugian bersih sebanyak RM132 juta daripada keuntungan bersih RM25.7 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan turut jatuh 43.5% kepada RM329 juta pada 9MFY23 berbanding RM583 juta tahun lalu dengan EPS rugi 13.41 sen daripada positif 2.71 sen.

 

Setakat 31 Mac 2023, baki buku pesanan kumpulan itu adalah kira-kira RM1.56 bilion.

 

Mengulas tentang prospek, Pestech berkata pihak pengurusan berusaha mengharungi cabaran berlarutan dan terus berhati-hati.

 

“Pelbagai kesukaran yang dikompaun telah menjejas usaha kumpulan dalam mengelakkan masalah operasi dan kewangan. Usaha daripada semua pihak dalam kumpulan diperlukan untuk meningkatkan momentum bagi menjana pendapatan daripada baki buku pesanan,” katanya.

 

Saham Pestech ditutup pada 23 sen hari ini dengan modal pasaran berjumlah RM228.2 juta. -DagangNews.com