Petani moden lengkap dengan ilmu perniagaan, tekad UPM bantu peserta IPR-INTAN | DagangNews Skip to main content

Petani moden lengkap dengan ilmu perniagaan, tekad UPM bantu peserta IPR-INTAN

KUALA LUMPUR 6 Feb - Program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan sekadar bertujuan melahirkan petani moden bahkan para peserta turut dibekalkan dengan ilmu usahawan tani.

 

Salah seorang tenaga pengajar, Prof. Dr. Rozanah Ab Rahman berkata, ilmu keusahawan yang diajar kepada para peserta dalam program ini adalah secara menyeluruh untuk melengkapkan mereka dengan minda perniagaan.

 

Katanya, ini penting sebelum peserta memulakan perniagaan kerana ia menyentuh hal ehwal perniagaan di samping persediaan terhadap aspek pemasaran hasil tanaman.

 

rozanah
Prof. Dr. Rozanah Ab Rahman

 

"Menariknya mereka turut diberi pendedahan mengenai pelan perniagaan menerusi Business Model Canvas (BMC).

 

"Ini supaya perjalanan para peserta sebagai usahawan tani pada masa depan lebih lancar," katanya yang juga pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM hari ini.

 

INTAN merupakan salah satu daripada program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi bagi meningkatkan pendapatan peserta dan seterusnya membasmi kemiskinan.

 

Kata Dr Rozanah, setiap usahawan tani juga perlu bersedia dari segi ilmu penjenamaan supaya produk pertanian yang dikeluarkan kelak dikenali pelanggan.

 

"Justeru, tajuk penjenamaan sangat penting untuk difahami peserta kerana perkara itu berkait dengan inovasi hasil dan cara produk dipasarkan,” jelasnya.

 

int
 Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab sedang memberi tunjuk ajar kaedah cantuman pada pokok peranti.

 

Selain ilmu perniagaan dan pemasaran, para peserta INTAN di UPM turut diajar dengan modul tanaman dan ternakan akuakultur. 

 

Peserta juga diberi latihan amali melalui kerjasama dengan rakan strategik industri.

 

Tenaga pengajar modul tanaman, Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab berkata, latihan ini penting bagi mendedahkan peserta dengan pengetahuan asas cara penanaman yang betul.

 

Katanya, modul yang dibangunkan untuk peserta IPR-INTAN diolah menggunakan modul yang dibangunkan daripada Program Inkubasi Usahawantani Fakulti Pertanian, UPM.

 

Tambah beliau, program itu sangat baik untuk membantu golongan B40 meningkatkan ekonomi di samping menjadi salah satu pendekatan dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

 

“Peserta bukan sahaja didedahkan dengan teori ilmu pertanian malah diajar secara praktikal yang akan memanfaatkan mereka apabila berada di lapangan kelak,” katanya.

 

Pengajar segmen pertanian bagi teknik dan penanaman sun melon itu berkata, buah ini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dan dengan teknik yang betul, setiap pokok mampu mengeluarkan hasil yang baik.

 

"Penggunaan teknologi dalam bidang pertanian banyak membantu sama ada dari segi kuantiti mahu pun kualiti hasil pertanian.

 

“Penaman sun melon di Malaysia mempunyai potensi besar. Walaupun terdapat varieti sun melon lain, jenis yang kita tanam di UPM ini amat sedikit di pasaran," jelasnya.

 

ikan
 Dr. Fadhil Syukri Ismail bersama peserta yang menjalankan aktiviti akuakultur di IPR-INTAN@UPM

 

Sementara itu, tenaga pengajar bidang akuakultur, Dr. Fadhil Syukri Ismail menyokong inisiatif IPR-INTAN yang memperkenalkan bidang akuakultur kepada masyarakat terutama golongon B40.

 

Beliau berkata, penting buat peserta untuk mempunyai ilmu kerana bidang ini memerlukan pemahaman asas yang kuat sebelum mereka boleh mengusahakan  aktiviti akuakultur.

 

“Dengan adanya ilmu asas kita dapat mengelakkan kesalahan yang tidak menguntungkan,” katanya yang juga salah seorang pakar akuakultur UPM.

 

Dr Fadhil berkata, kerjaya akuakultur kurang diminati golongan belia Malaysia disebabkan kurang kesedaran dalam bidang ini serta pengenalan berkenaan industri ini yang terhad kepada masyarakat.

 

“Saya amat berharap program pendidikan sebegini boleh ditumpukan di sekolah serta universiti untuk menyampaikan mesej kepada pelajar tentang manfaat kerjaya dalam akuakultur,” katanya.

 

Antara modul yang diajar kepada para peserta IPR di UPM ialah asas akuakultur, pemakanan dalam akuakultur, pembenihan, kualiti air, penyakit dalam akuakultur, pra dan pasca tuai serta teknologi terkini dalam akuakultur.

 

Selain itu, pakar UPM yang turut menjadi jurulatih dalam program itu ialah Prof Muta Harah Zakaria @ Ya, Prof Salleh Kamarudin, Dr. Annie Christianus dan Dr Diyana Taher yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.- DagangNews.com