Petra Energy dilantik sebagai subkontraktor MMHE bagi projek Kasawari CCS | DagangNews Skip to main content

Petra Energy dilantik sebagai subkontraktor MMHE bagi projek Kasawari CCS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Petra Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, Petra Resources Sdn. Bhd. dilantik sebagai subkontraktor daripada Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) untuk kerja-kerja sambungan dan pentauliahan (HUC) bagi projek Kasawari CCS.

 

Tempoh masa bagi kerja-kerja subkontrak itu adalah daripada Mac 2023 hingga Disember 2025.

 

"Kerja-kerja subkontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama kumpulan.

 

"Subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh yang ditetapkan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, faktor risiko yang mempengaruhi kerja-kerja subkontrak terdiri daripada risiko operasi dan pelaksanaan dengan kumpulan itu akan mengambil langkah yang sesuai untuk menghapuskan atau meminimumkannya.

 

Lembaga Pengarah dan Pengurusan Petra Energy berpendapat bahawa penerimaan kerja-kerja subkontrak itu adalah demi kepentingan syarikat.

 

"Diberi peluang untuk menjalankan kerja untuk salah satu projek CCS luar pesisir terbesar di dunia merupakan pencapaian yang bermakna bagi kumpulan.

 

"Lembaga Pengarah dan Pengurusan Petra Energy menghargai sokongan daripada MMHE dan keyakinan yang diberikan" katanya. - DagangNews.com