KUALA LUMPUR 3 Jan - Petra Energy Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petra Energy Development Sdn. Bhd. (PEDSB) memeterai perjanjian tambahan dengan Petronas membabitkan kontrak perkhidmatan bagi pengeluaran, operasi dan penyelenggaraan Medan Banang.
Perjanjian tambahan itu berkuat kuasa mulai 29 September 2022 bagi tempoh selama 22 bulan sehingga 6 Ogos 2024.
Lanjutan itu adalah kesinambungan daripada Banang TSA semasa dan mengiktiraf kecemerlangan penyampaian dan pelaksanaan projek oleh PEDSB selain mengutamakan operasi kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) dan kemudahan.
"Skop kerja-kerja utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh kontrak ini termasuklah kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan muatan serta pemantauan telaga dan takungan.
"Ia juga merangkumi perancangan dan ramalan pengeluaran, rutin operasi dan penyelenggaraan, logistik serta inventori dan pergudangan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Petra Energy menjangkakan kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modan saham dan pemegangan utama kumpulan.
"Sebaliknya, ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan Petra Energy sepanjang tempoh kontrak," katanya. - DagangNews.com