Petronas catat pendapatan RM89.7 bilion pada suku pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

Petronas catat pendapatan RM89.7 bilion pada suku pertama 2024

Untung Petronas 1Q 2024 meningkat sedikit berbanding setahun sebelumnya.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Mei - Petronas mencatatkan pendapatan RM89.7 bilion pada suku pertama 2024, di tengah-tengah ketidakstabilan yang berpanjangan dalam landskap harga.

 

Pendapatan suku berakhir 31 Mac 2024 itu meningkat sedikit berbanding suku pertama tahun 2023 yang berjumlah RM89.3 bilion.

 

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) pada 1Q 2024 pula berjumlah RM21.3 bilion, susut kira-kira 10% berbanding 1Q 2023 yang berjumlah RM23.8 bilion manakala Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Penyusutan dan Pelunasan (EBITDA) berjumlah RM36.2 bilion.

 

"Aliran Tunai dari Aktiviti Operasi (CFFO) berkurang sebanyak RM2.1 bilion kepada RM23.4 bilion seiring dengan keuntungan yang lebih rendah.

 

"Perbelanjaan Pelaburan Modal (CAPEX) berjumlah RM10.7 bilion terutamanya disumbangkan kepada projek Gas dan Huluan, termasuk Projek LNG Canada yang sedang berlangsung, La Amarga Chica di Argentina serta Projek LNG Terapung di Perairan Dalam dan Kemudahan Pengumpulan CO2 Kasawari di Malaysia. 

 

"Pelaburan CAPEX domestik pula meningkat sebanyak 20%," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas catat untung bersih RM80.7 bilion pada FY2023, susut hampir 21%

 

Tambah Petronas, jumlah asset bertambah kepada RM796.3 bilion pada 31 Mac 2024. 

 

"Ekuiti Pemegang Saham merosot kepada RM434.4 bilion pada 31 Mac 2024, yang boleh dikenakan ke atas dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM32.0 billion," jelasnya.

 

Petronas dalam pada itu terus menjalankan pengurusan kewangan yang berhemah dalam usahanya untuk mengekalkan nilai dan menyampaikan keselamatan tenaga bagi Malaysia dan pelanggannya di seluruh dunia sambil mengejar penyelesaian karbon yang lebih rendah.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi kewangan yang stabil dalam suku pertama menunjukkan pelaksanaan strategi yang jelas untuk peralihan tenaga: membangun hidrokarbon dengan inisiatif dekarbonisasi yang boleh diukur dan berkesan serta mengejar penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

 

petronas
              TENGKU MUHAMMAD TAUFIK

 

"Memandangkan kami menjangkakan akan menghadapi cabaran sepanjang tahun ini, Petronas akan memanfaatkan kekuatan portfolionya yang terintegrasi untuk melabur semula dengan pantas dan disiplin. 

 

"Kumpulan ini tetap teguh dalam pendekatan untuk menghasilkan pertumbuhan yang menguntungkan secara bertanggungjawab dan mampan. Pada setiap masa, Petronas akan terus menjalankan pengurusan berhemah terhadap komitmen kewangannya dan obligasi hutang.

 

Petronas yang meraikan ulang tahunnya yang ke-50 berkata, Kumpulan ini tetap bertekad untuk terus menyumbang kepada masa depan karbon yang lebih rendah selaras dengan Strategi Peralihan Tenaga PETRONAS. 

 

petronas

 

"Kami menyasarkan untuk memenuhi kepercayaan pihak berkepentingan kami sebagai rakan tenaga dan penyelesaian progresif mereka. 

 

"Petronas tetap teguh dalam mempertahankan amanahnya untuk menjaga aliran tenaga bagi pertumbuhan ekonomi dan memastikan keselamatan tenaga bagi rakyat Malaysia dan pelanggan kami di seluruh dunia."

 

Mengenai prospek, Petronas berkata, bagi suku pertama tahun 2024, pasaran minyak dan gas terus dipengaruhi oleh ketidakstabilan dalam makroekonomi dan dinamika geopolitik di tengah-tengah peralihan tenaga yang mengakibatkan landskap harga yang berpanjangan dan turun naik harga.

 

"Petronas berusaha untuk mengekalkan nilainya dan terus komited untuk memastikan keselamatan tenaga bagi pelanggannya di dalam dan di luar Malaysia melalui pengurusan kos strategik, portfolio yang kukuh dan pengurusan kecairan yang berhemah. 

 

"Kumpulan ini akan terus melaksanakan segala usaha untuk menangani turun naik yang semakin meningkat, sambil berdepan dengan harapan pihak berkepentingan.

 

Kata syarikat minyak negara itu, selaras dengan Strategi Peralihan Tenaga, Petronas sedang bergerak untuk memperkuat Perniagaan Utamanya dengan meneruskan penyelesaian Pembangunan Medan Gas Kasawari di Malaysia dan kilang LNG di Kanada menjelang akhir tahun. 

 

"Selain itu, Petronas sedang meningkatkan Perniagaan Barunya dengan pengoperasian projek solar yang disambungkan dengan sistem transmisi antara negeri di India," ujarnya. - DagangNews.com