Petronas Chemicals, Sarawak Petchem jalin kerjasama teroka potensi bina loji ammonia dan urea karbon rendah di Bintulu | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals, Sarawak Petchem jalin kerjasama teroka potensi bina loji ammonia dan urea karbon rendah di Bintulu

(Dari kiri) Tan Sri Abdul Aziz Husain, Abdul Razak Ali, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Datuk Mohammad Ibrahim, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Mazuin Ismail, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Yaacob Salim dan Datuk Dr Abdul Rahim Hashim ketika majlis memeterai MoU antara Petronas Chemicals dan Sarawak Petchem.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sarawak Petchem Sdn Bhd untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membina loji ammonia dan urea berkarbon rendah di Bintulu, Sarawak.

 

Kedua-dua syarikat itu akan menjalankan kajian komprehensif bersama daripada segi teknikal dan komersial, dengan aspek-aspek yang lain dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumusan tenaga lestari dengan memanfaatkan potensi tenaga yang boleh diperbaharui di rantau ini.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha sama untuk mengkaji potensi pembangunan loji ammonia dan urea berkarbon rendah berskala dunia amat dialu-alukan. 

 

"Loji ini mempunyai keupayaan pada masa akan datang untuk menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang rendah, ia sememangnya satu inisiatif strategik dalam memanfaatkan peluang pasaran peralihan tenaga global," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik; Pengerusi PCG, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim; Pengarah Urusan dan CEO SP, Datuk Mohammad Ibrahim; Ketua Kewangan dan Komersial SP, Abdul Razak Ali dan Ketua Perancangan Strategik dan Usaha niaga PCG, Yaacob Salim.

 

Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri Abdul Aziz Husain pula berkata, kerjasama itu membolehkan mereka memanfaatkan sinergi, mengoptimumkan kos dan berkongsi risiko, justeru memaksimumkan nilai untuk Sarawak dan Malaysia.

 

Pada masa sama katanya, ia menzahirkan amalan perniagaan beretika dan pemikiran kolaboratif. 

 

"Inisiatif pembangunan bersama ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak, di samping memacu penyediaan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan lestari selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Sarawak Petchem, kerana ia mengukuhkan lagi hubungan pekerjaan mereka dengan Sarawak. 

 

Katanya, ia berpotensi untuk menjadi projek berkarbon rendah pertama bagi PCG dan selaras dengan komitmen untuk memacu transformasi yang lestari dalam rantaian nilai mereka. 

 

"Kerjasama dengan Sarawak Petchem ini bukan sahaja sejajar dengan objektif kelestarian negara dan juga PCG, tetapi juga memudahkan pengembangan kami yang selanjutnya ke dalam pasaran urea di Asia Tenggara. 

 

"Selain itu, ia memberi peluang untuk memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui daripada Sarawak sambil melengkapkan usaha kami dalam membangunkan kemudahan Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS)," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, ammonia berkarbon rendah digunakan dalam sektor hidrogen dan tenaga untuk pembakaran bersama, bunkering dan aplikasi ammonia lestari pada masa hadapan.

 

Manakala, urea pula berfungsi terutamanya sebagai baja, bahan mentah untuk resin dalam papan lapis dan pelekat, serta cecair ekzos diesel untuk pengaplikasian automotif. - DagangNews.com