Petronas hantar kargo LNG neutral karbon pertama Hiroshima Gas   | DagangNews Skip to main content

Petronas hantar kargo LNG neutral karbon pertama Hiroshima Gas  

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Malaysia LNG Sdn Bhd, anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), berjaya melaksanakan penghantaran kargo gas asli cecair neutral karbon (CNLNG) kepada Hiroshima Gas Co, Ltd. (Hiroshima Gas).

 

Dalam satu kenyataan hari ini,  Petronas berkata penghantaran CNLNG tersebut bertepatan dengan falsafah pengurusan Hiroshima Gas untuk menjadi syarikat dipercayai oleh komuniti yang menggunakan perkhidmatannya. 

 

“Kami berbangga kerana dapat mengembangkan hubungan selama 16 tahun ini dengan berperanan sebagai rakan pilihan  Hiroshima Gas untuk penghantaran pertama kargo CNLNG syarikat itu.  

 

“Langkah menyediakan penyelesaian tenaga lebih bersih menerusi pengurangan karbon tidak hanya memberi impak positif terhadap industri LNG tetapi turut mewujudkan nilai mampan secara amnya untuk perniagaan, masyarakat dan dunia,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas Shamsairi Ibrahim. 

 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Kanan Hiroshima Gas Kazunori Tamura berkata, perniagaan syarikat itu sebagai pembekal gas di bandar kini semakin ketara dari segi penyediaan gas neutral karbon kepada para pengguna akhir. 

 

“Kemampuan Petronas untuk menyediakan penyelesaian sedemikian sudah semestinya penting dalam memastikan kami di landasan tepat bagi mencapai matlamat kemampanan. Kami juga gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan Petronas bagi kargo CNLNG pertama untuk syarikat ini,” katanya.   

 

Minggu lalu Petronas mengumumkan penemuan gas dari telaga penerokaan wildcat Hadrah-1 Blok SK411, yang terletak di perairan cetek Wilayah Balingian kira-kira 170 kilometer barat laut dari pesisir Sarawak.

 

Telaga Hadrah-1 telah berjaya digerudi sehingga kedalaman 1,850 meter pada November tahun lalu.

 

Gas itu ditemui dalam jujukan tebal batu pasir dan takungan karbonat berkualiti tinggi setebal kira-kira 200 meter.

 

Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang mengendali blok itu, memiliki 90 peratus pegangan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran, manakala baki 10 peratus lagi dipegang E&P Malaysia Venture Sdn. Bhd. -DagangNews.com