Petronas meterai perjanjian PSC bagi pengeluaran hidrokarbon di Blok 2K | DagangNews Skip to main content

Petronas meterai perjanjian PSC bagi pengeluaran hidrokarbon di Blok 2K

KUALA LUMPUR 13 Okt - Petronas menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) baharu bagi Blok 2K, blok laut dalam ultra di luar pantai Sabah.

 

Ia membabitkan TotalEnergies EP Malaysia (TE), Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB), Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) dan Shell Sabah Selatan Sdn. Bhd. (SSS).

 

Blok SB 2K, dengan kedalaman sehingga 3,000 meter, meliputi 1,952 kilometer persegi terletak di kawasan perairan laut dalam ultra barat laut yang prolifik dalam lembangan hidrokarbon yang terbukti dengan potensi sangat cerah bagi hidrokarbon.

 

Di bawah terma PSC, TE, anak syarikat milik penuh TotalEnergies SE yang berpangkalan di Perancis, akan menjadi pengendali dengan penyertaan 34.9% kepentingan.

 

PCSB pula memegang 40% lagi kepentingan manakala 25.1% dibahagi sama rata antara dua lagi rakan kongsi iaitu SSPC dan SSS.

 

Menandatangani PSC bagi pihak Petronas ialah Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Mohamed Firouz Asnan, manakala TE diwakili Pengurus Besar, Penerokaan dan Pengeluaran Malaysia, Xavier Faugeras.

 

Sementara itu, PCSB diwakili Naib Presiden Penerokaan, Mohd Redhani Abdul Rahman manakala SSPC pula Pengurus Kewangan, Huluan Malaysia, Hilmi Yusof dan Pengurus Besar, Laut Dalam Sabah, Huluan Malaysia, Prithipal Singh mewakili SSS.

 

Dalam kenyataan hari ini, Mohamed Firouz berkata, pemeteraian untuk Blok 2K itu melengkapkan pelesenan lima blok ultra-dalam di luar pantai Sabah, mengikut trend karbonat Oligo-Miosen yang baru dikenal pasti yang dibuktikan oleh penemuan minyak Tepat-1 di Blok N pada 2018.

 

Katanya, perjanjian bagi Blok 2V ditandatangani tahun lalu diikuti Blok 2W dan X awal tahun ini.

 

"Sebanyak empat telaga dijangka digerudi di blok air ultra dalam pada 2022 dan 2023, untuk meneroka wilayah hidrokarbon yang sedang berkembang ini," katanya. - DagangNews.com