Pengerusi Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh (dari kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K.Raman dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali selepas menandatangani memorandum persefahaman antara Petronas dan Microsoft baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 27 April - Kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Microsoft mencerminkan komitmen syarikat minyak dan gas utama negara itu dalam membangunkan usaha pendigitalan ekonomi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkaya kehidupan untuk masa depan lestari, pembangunan modal insan secara berterusan akan menjadi sebahagian daripada kemampuan kumpulan untuk beroperasi dan bersaing.
"Kami berharap dapat mempercepatkan usaha dalam meningkatkan bakat tempatan dengan tujuan untuk mencipta masa depan digital yang inklusif demi kepentingan rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Petronas dan Microsoft memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa digital ekonomi negara yang inklusif dan memajukan transformasi digital negara merentasi sektor awam dan swasta.
Menerusi kerjasama ini, ia memberi fokus kepada bidang utama Yayasan Digital, merangkumi peningkatan kemahiran bakat digital dan infrastruktur sedia ada untuk pembangunan negara, transformasi perniagaan bagi membolehkan penyampaian nilai tambah tenaga dan inovasi teknologi digital yang menyokong kelestarian.
Kerjasama itu diumumkan ketika pelancaran inisiatif Microsoft 'Bersama Malaysia' pada 19 April lalu yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Inisiatif Microsoft 'Bersama Malaysia' menyokong aspirasi MyDigital bagi membantu negara untuk muncul sebagai peneraju digital ekonomi di rantau ini.
Di bawah inisiatif itu, Majlis Kepimpinan Bersekutu MyDigital dibentuk untuk bekerjasama dalam cadangan dasar awan dan digital.
Antara anggota majlis itu termasuklah Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Digital Petronas, Aadrin Azly.
Dalam pada itu, Akademi Digital Petronas juga akan ditubuhkan merangkumi asas digital dan teknikal kepada para pekerja sebagai permulaan. - DagangNews.com