Petronas tidak nikmati diskaun SST daripada kerajaan Sarawak, kata Ahmad Nizam | DagangNews Skip to main content

Petronas tidak nikmati diskaun SST daripada kerajaan Sarawak, kata Ahmad Nizam

SIBU 11 Ogos – Petronas tidak menikmati sebarang `diskaun’ daripada kerajaan Sarawak dalam pembayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2019, seperti didakwa oleh bekas menteri kewangan negeri, Dato Sri Wong Soon Koh.

 

“Tiada diskaun,” kata bekas pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Ahmad Nizam Salleh semasa memberi keterangan secara persidangan video dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sibu baru-baru ini, lapor portal DayakDaily.

 

Menurut beliau lagi, dana sebanyak RM2,956,671,407.00 yang dibayar oleh Petronas pada 17 September 2020 merupakan jumlah sepenuhnya yang perlu dibayar oleh syarikat minyak negara itu bagi tahun 2019.

 

Katanya, jumlah itu telah dinilai oleh Pengawal SST berdasarkan pulangan, yang dikemukakan oleh Petronas mengenai jualan sebenar minyak mentah, LNG dan lain-lain pada tahun berkenaan.

 

Ahmad Nizam juga bersetuju dengan pertanyaan Peguam mewakili Kerajaan Negeri, Dato Sri JC Fong bahawa, sebarang tuduhan mengenai wujudnya `diskaun SST yang besar’ diberi oleh kerajaan Sarawak kepada Petronas adalah tidak berasas dan tiada bukti.

 

petronas
Tan Sri Ahmad Nizam Salleh

 


Perbicaraan saman fitnah oleh kerajaan Sarawak terhadap Wong Soon Koh yang merupakan presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) bakal memasuki akhir apabila perbicaraan bersambung pada 16 Ogos ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sibu, Christopher Chin Soo Yin.

 

Wong dijadualkan akan memberikan keterangan dengan pasukan peguamnya memanggil Ahli Parlimen Bukit Assek, Irene Chang sebagai saksi.

 

Seramai tujuh saksi telah dipanggil memberi keterangan oleh kerajaan Sarawak, dan dua daripada Wong, termasuk Tan Sri Ahmad Nizam.

 

wong soon koh
Wong Soon Koh

 

 

Kerajaan Sarawak menyaman Wong atas dakwaan kenyataan media beliau bertarikh 10 Mei 2020 mengandungi pernyataan palsu iaitu kononnya “Petronas menikmati diskaun besar SST dan disebabkan penyelesaian pembayaran itu, Belanjawan Negeri 2019 menyusut beberapa bilion ringgit. — DagangNews.com