KUALA LUMPUR 9 Sept - Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV) mengumumkan kejayaan penemuan pertama minyak di Suriname menerusi usaha yang dijalankan di telaga Baja-1, Blok 53 di kawasan luar pesisir negara tersebut.
Telaga yang terletak kira-kira 189 kilometer di luar pesisir Suriname pada kedalaman 1,140 meter, telah berjaya digerudi sehingga sedalam 5,290 meter.
Malah, Petronas turut menemukan minyak ringan di kawasan jujukan enapan usia Campanian dan penilaian pasca-penggerudian sedang dilakukan bagi mengesahkan potensi sumber penemuan tersebut.
Naib Presiden Cari Gali Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, penemuan di telaga Baja-1 merupakan satu pencapaian bermakna dalam usaha membuka sumber hidrokarbon laut daripada aktiviti cari gali.
“Malah, kami turut teruja dengan kejayaan ini dan akan kekal fokus untuk mengembangkan lagi portfolio antarabangsa, terutamanya di kawasan Amerika.
"Kejayaan ini juga sebagai bukti gabungan kepakaran serta pengalaman oleh semua rakan usaha yang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
PSEPBV merupakan pemegang 30% kepentingan penyertaan dalam blok yang diuruskan oleh APA Suriname Corporation LDC yang mempunyai 45% kepentingan manakala baki 25% dipegang oleh CEPSA Suriname, S.L.
Selain itu, PSEPBV juga memegang 100% kepentingan dan pengendali di Blok 48 dan terbabit dalam perkongsian 50:50 dengan ExxonMobil Exploration & Production Suriname B.V di Blok 52 yang juga kawasan berpotensi di lembangan Suriname-Guyana. - DagangNews.com