Petronas untung RM46.4 bilion pada separuh pertama 2022, melonjak lebih 100% | DagangNews Skip to main content

Petronas untung RM46.4 bilion pada separuh pertama 2022, melonjak lebih 100%

Petronas kekal fokus kepada hasrat untuk menyediakan tenaga yang terjamin, mudah diakses dan lestari. - Gambar : Facebook Petronas

KUALA LUMPUR 30 Ogos  – Petronas merekodkan prestasi yang kukuh bagi separuh pertama 2022 dalam ketidaktentuan pasaran tenaga yang berterusan dan peralihan tenaga yang dipercepatkan.

 

Prestasi memberangsangkan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan gas kesan daripada jurang bekalan yang melebar dan kapasiti sistem yang semakin berkurangan, yang terus menyokong keperluan daya tahan operasi mampan pada masa akan datang.

 

Dalam meneruskan pertumbuhan, kumpulan kekal fokus kepada hasrat untuk menyediakan tenaga yang terjamin, mudah diakses dan lestari kepada pelanggan di Malaysia dan merentasi seluruh dunia.

 

 

Petronas

 

 

Ini menyaksikan pada tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Petronas merekodkan pendapatan sebanyak RM172.1 bilion, berbanding RM109.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, khususnya disebabkan oleh kesan harga yang lebih baik untuk produk utama selari dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 146% kepada RM46.4 bilion, berbanding RM18.8 bilion sebelum ini, seiring dengan pendapatan yang lebih tinggi berikutan trend peningkatan harga yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan cukai yang lebih tinggi. 

 

Perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM18.9 bilion, disumbangkan terutamanya oleh projek huluan. Keseluruhan capex yang dibelanjakan sepanjang suku berkenaan mencerminkan jumlah aktiviti yang kembali ke tahap sebelum pandemik.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, kumpulan merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM93.3 bilion, berbanding RM57.1 bilion pada suku sama tahun lalu yang sebahagian besarnya disebabkan oleh impak harga yang menggalakkan untuk semua produk dan kadar pertukaran yang lebih baik.

 

PAT pula meningkat kepada RM23 bilion berbanding RM9.6 bilion pada suku sama tahun lalu sejajar dengan pendapatan lebih tinggi yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan cukai yang lebih tinggi.

 

 

Tengku Muhammad Taufik
Tengku Muhammad Taufik 

 

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan Petronas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi kukuh pada separuh pertama 2022 menunjukkan komitmen kumpulan untuk melaksanakan semua langkah yang perlu supaya kekal berdaya tahan.

 

Katanya, ia selari dengan hala tuju  syarikat ke arah mengekalkan kecemerlangan komersial dan operasi dalam semua operasi perniagaan, meskipun berdepan dengan persekitaran global yang tidak menentu.

 

“Memandang ke hadapan, sejajar dengan strategi pertumbuhan tiga serampang kami dan aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050, Petronas kekal tegas dalam memastikan tenaga terus dihasilkan dan dibekalkan secara bertanggungjawab dan lestari. 

 

“Kumpulan kekal komited dalam mencipta nilai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini termasuklah, menyokong daya tahan ekosistem minyak dan gas tempatan serta memupuk perkongsian erat ke arah mengekalkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan terus berkembang maju," katanya. 

 

 

Petronas

 

 

Bagi separuh pertama 2022, Petronas menyumbang kira-kira RM300 juta untuk usaha pembangunan Kelestarian Nasional serta Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti, yang memanfaatkan 500,000 penerima di seluruh dunia. 

 

Pelaburan itu bagi mewujudkan hubungan positif bersama komuniti di mana syarikat beroperasi dengan melindungi alam sekitar dan menambah nilai kepada kesejahteraan pekerja, rakan kongsi dan masyarakat. 

 

Namun, menurut Tengku Muhammad Taufik, ketegangan geopolitik yang berpanjangan, ketidakseimbangan bekalan-permintaan tenaga dan risiko kelembapan global terus mengancam pemulihan ekonomi pasca pandemik. 

 

"Dalam hal ini, Petronas kekal teguh dalam mengukuhkan portfolio terasnya di samping meneruskan strategi pertumbuhan dan agenda kelestariannya pada kadar pesat dan berdaya tahan," jelas beliau. - DagangNews.com