Petros ambil alih kawalan aktiviti perdagangan gas asli Sarawak berkuat kuasa 1 Julai 2024 | DagangNews Skip to main content

Petros ambil alih kawalan aktiviti perdagangan gas asli Sarawak berkuat kuasa 1 Julai 2024

Stesen minyak Petros di Kuching - Gambar Faitullah Morni Lim

KUCHING - Petroliam Sarawak Bhd (Petros) akan mula mengambil alih peranan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam semua aktiviti perdagangan gas asli di Sarawak, berkuat kuasa 1 Julai ini.

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Negeri Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, tempoh peralihan untuk Petros mengambil alih adalah sehingga Januari 2025.

 

“Petros akan mengambil alih peranan Petronas sebagai pembeli dan penjual gas asli dan seterusnya menjalankan aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dikeluarkan di Sarawak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Isnin, Bernama melaporkan.

 

 

Datuk Seri Julaihi Narawi
                               Datuk Seri Julaihi Narawi

 

 

Julaihi menambah, Petros dan Petronas juga bersetuju menandatangani perjanjian muktamad di mana Petronas akan mengiktiraf Petros sebagai agregator gas tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2023.

 

“Oleh itu, mulai 1 Julai, Petros akan bertindak sebagai agregator gas tunggal negeri yang bertanggungjawab membeli semua gas asli yang dihasilkan di Sarawak daripada pengeluar gas huluan dan seterusnya menjualnya kepada pembeli gas hiliran, termasuk loji gas asli cecair (LNG).

 

"Ini akan membolehkan bekalan LNG berterusan untuk loji pemprosesan untuk memenuhi kontrak mereka dengan pembeli luar negara seperti di Jepun dan Korea," katanya.

 

 

petros

 

 

Julaihi berkata, Petros juga akan meneruskan usaha meningkatkan penggunaan gas asli selaras dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).

 

“Melalui inisiatif SGR, penggunaan gas asli di Sarawak berpotensi meningkat kepada 30% atau lebih menjelang 2030, meningkat daripada 6% semasa.

 

“SGR dijangka menarik pelaburan ke Sarawak, memupuk aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk pekerjaan berpendapatan tinggi,” tambahnya. - DagangNews.com