KUALA LUMPUR 27 Feb - Pharmaniaga Berhad mencatat Kerugian Sebelum Cukai dan Zakat sebanyak RM580.8 juta dan Kerugian Selepas Cukai dan Zakat sebanyak RM605 juta, sekali gus mencetuskan kriteria Nota Amalan 17.
Faktor penyebab kerugian ialah stok vaksin COVID-19 yang `bergerak perlahan' dengan jangka hayat di dalam inventorinya.
"Disebabkan keperluan mematuhi perakaunan mengikut Keperluan Laporan Kewangan Malaysia serta piawaian dan amalan tadbir urus baik Pharmaniaga, Kumpulan terpaksa menyediakan sejumlah RM552.3 juta untuk stok vaksin.
"Peruntukan ini tidak dapat tidak mencetuskan kriteria Nota Amalan 17 untuk Pharmaniaga," kata syarikat itu dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Pharmaniaga lagi, bagi menangani perkara itu, Kumpulan kini sedang dalam perbincangan fokus dengan pelbagai pihak, tempatan dan luar negara untuk membeli vaksin.
"Kumpulan optimistik hasil yang menggalakkan daripada rundingan," kata syarikat itu.
"Walau apa pun isu ini, Kumpulan memberi jaminan kepada semua pihak bahawa ia komited untuk melakanakan Pelan Regularisasi, selaras dengan keperluan Bursa Malaysia dalam masa yang ditetapkan.
Pelan itu akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan kedudukan kewangan Kumpulan, serta memastikan aktiviti perniagaan teras kekal berdaya maju dengan prospek pertumbuhan.
Kumpulan juga menjamin bahawa aktiviti operasinya untuk kedua-dua perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan dan perniagaan bukan konsesi dengan sektor swasta akan tidak terganggu dan terus utuh.
"Kumpulan komited untuk memberi perkhidmatan kepada semua kewajipan kewangan kepada pemberi pinjaman dan institusi kewangan lain, serta merumus pelan aliran tunai yang optimum," kata Pharmaniaga.
Sebarang kemerosotan nilai yang besar boleh memberi kesan buruk kepada pemegang saham kawalannya, Boustead Holdings Bhd, yang memegang 51.85% kepentingan dalam syarikat itu.
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang mengawal 59.42% kepentingan ekuiti dalam Boustead Holdings, mempunyai 8.62% kepentingan langsung dalam Pharmaniaga.
ARTIKEL BERKAITAN: Pharmaniaga berdepan rugi ratusan juta ringgit, stok vaksin COVID-19 tidak terjual
Sementara itu, dalam maklumannya di Bursa Malaysia, Pharmaniaga menjelaskan bahawa Kumpulan juga telah melupuskan aset tidak bernilai atas anak syarikat pengilang di Indonesia, sebanyak RM50.3 juta.
"Akibatnya, Kumpulan merekodkan kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) dan kerugian sebelum zakat dan cukai (LBT), masing-masingnya sebanyak RM616.7 juta dan RM638.4 juta pada 4Q FY2022.
Catatan itu berbeza dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBT) masing-masing sebanyak RM140.9 juta dan RM125.1 juta pada 4Q FY2021.
Peningkatan dalam hasil sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih rendah daripada penjualan vaksin COVID-19 memandangkan negara memasuki fasa endemik.
"Namun begitu, jualan yang agresif usaha ke atas stok vaksin COVID-19 sedang dijalankan kerana jangka hayat vaksin masih sah," katanya. - DagangNews.com