Pharmaniaga dijangka jadi pengedar utama vaksin COVID-19 - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga dijangka jadi pengedar utama vaksin COVID-19 - AmInvest

 

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pharmaniaga Bhd. dijangka menjadi pengedar utama vaksin COVID-19 kepada hospital tempatan, dan akan melantik syarikat lain untuk membantu mengedarkan vaksin tersebut ke seluruh negara, menurut AmInvestment Bank Bhd. (AmInvest). 

 

Malah, bank pelaburan itu dalam nota kajian seperti dilapor Bernama juga percaya Apex Healthcare Bhd. akan mendapat manfaat tersebut.  

 

"Ini berdasarkan rangkaian pengedarannya yang kukuh dan rekod prestasinya yang cemerlang sebelum ini dalam pengedaran vaksin dan produk farmaseutikal yang lain," katanya. 

 

Untuk syarikat pembotolan pula, katanya, walaupun perjanjian mengenai proses pembotolan vaksin COVID-19 belum direalisasikan, kerajaan dilihat memilih Duopharma Biotech Bhd. dan Pharmaniaga untuk menjalankan proses ini.

 

Setakat ini, Pharmaniaga telah menandatangani perjanjian dengan Serum Institute of India Pte Ltd untuk menjalankan proses pembotolan bagi vaksin pneumokokal, katanya.

 

AmInvest turut percaya KPJ Healthcare Bhd. dan IHH Healthcare Bhd., serta penyedia penjagaan kesihatan swasta yang lain akan memainkan peranan dalam program vaksinasi. 

 

“Kami berpendapat hospital dan klinik swasta akan membantu dalam program vaksinasi COVID-19 Malaysia berikutan kemudahan rangkaian sejuk, had logistik dan tenaga kerja dalam sektor awam.

 

“Kami turut berpendapat penyedia penjagaan kesihatan swasta akan menerima bayaran tetap daripada kerajaan untuk perkhidmatan mereka, walaupun kami meragui margin keuntungan operasi akan tinggi berikutan ini adalah perkhidmatan nasional,” katanya.

 

Walaupun mengetahui bahawa vaksin COVID-19 akan digunakan hanya selepas mendapat kelulusan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA), bank pelaburan itu percaya kumpulan pertama vaksin akan diberikan pada suku kedua atau suku ketiga 2021. 

 

Ini kerana katanya, NPRA bertanggungjawab memastikan semua produk dinilai dan diuji dengan baik sebelum didaftarkan untuk pasaran Malaysia. 

 

“Berdasarkan keperluan kepada kadar segera, penilaian keutamaan kemungkinan besar akan digunakan untuk kelulusan yang lebih cepat bagi vaksin COVID-19,” katanya. 

 

Secara keseluruhan, bank pelaburan itu mengekalkan saranan overweight ke atas sektor penjagaan kesihatan Malaysia.

 

Bagi tempoh jangka masa panjang, AmInvest menjangkakan pemulihan dalam sektor pelancongan perubatan, kesedaran mengenai kesihatan awam yang lebih baik dan penduduk yang semakin berusia akan memacu tahap pertumbuhan seterusnya dalam sektor penjagaan kesihatan. - DagangNews.com