PIKOM perkenal program latihan industri untuk rapatkan jurang kemahiran industri digital | DagangNews Skip to main content

PIKOM perkenal program latihan industri untuk rapatkan jurang kemahiran industri digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) melancarkan Program Latihan Industri PIKOM, yang merupakan inisiatif baharu untuk merapatkan jurang kemahiran dalam industri digital.

 

Program yang bermula pada Jun 2023 dengan kerjasama Universiti Nottingham, Universiti HELP dan Universiti Sunway, menyasarkan untuk menjemput lebih banyak Institut Pengajian Tinggi (IPT) menjelang akhir tahun ini. 

 

Ia juga akan memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pengalaman langsung dalam industri teknologi melalui latihan amali berbayar di syarikat ahli PIKOM yang mengambil bahagian.

 

Pengerusi PIKOM, Ong Chin Seong berkata, industri ICT adalah salah satu sektor yang paling pesat berkembang di Malaysia, dan terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja teknologi mahir.

 

"Program Latihan Industri PIKOM ialah program berstruktur yang akan membantu merapatkan jurang kemahiran dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman praktikal dalam industri," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Ong, program tersebut akan berlangsung selama 12 minggu, dan dan peserta ditugaskan kepada mentor yang akan membantu membimbing mereka untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka. 

 

Beliau berkata, peserta juga akan diberi peluang untuk menjalin rangkaian dengan profesional teknologi lain.

 

 

pikom

 

 

"Kami yakin Program Latihan Industri PIKOM akan menjadi pengalaman berharga kepada pelajar dan membantu mereka membangunkan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya dalam industri teknologi," katanya.

 

Dalam pada itu, PIKOM merancang mengadakan program perantisan untuk graduan dengan kerjasama LGMS Bhd untuk Cybersecurity dan HT Consulting (Asia) Sdn Bhd untuk pembangunan perisian. 

 

Pendaftaran program akan diperluaskan dengan sokongan daripada A P EMCO Executives Sdn Bhd dan Talent in Motion Sdn Bhd (kabel.my). - DagangNews.com