Johor Plantations: Menerajui Masa Depan yang Lebih Hijau dengan Biometana | DagangNews Skip to main content

Johor Plantations: Menerajui Masa Depan yang Lebih Hijau dengan Biometana

Pemandangan udara kilang biomethane milik JPG di Sedenak. - Gambar Johor Plantations

DI SEBALIK landskap perladangan sawit Malaysia, Johor Plantations Group Berhad (JPG) mengubah cabaran menjadi sumber keuntungan, sambil menetapkan penanda aras yang baharu dalam industri sawit dengan menukar efluen kilang minyak sawit (palm oil mill effluents, POME) menjadi gas biometana yang juga dikenali sebagai gas asli boleh diperbaharui.

 

Melalui usaha perintisnya dalam pengeluaran gas biometana secara komersial, JPG memperjuangkan pendekatan yang lebih bersih dan mampan dalam industri sawit dengan membangunkan aliran pendapatan baharu melalui amalan hijau yang dijangka menjana pendapatan lebih RM60 juta dalam tempoh lima tahun, dari 2024 hingga 2028.

 

 

Mencabar Status Quo Industri

POME ialah air buangan yang terhasil daripada aktiviti pengekstrakan dan penulenan minyak sawit, yang boleh menjadi bahan pencemaran utama alam sekitar jika tidak dirawat. Para pemain industri hendaklah memastikan biogas daripada POME di kilang sawit masing-masing tidak dilepaskan dan memasang mekanisme untuk memerangkap biogas dalam fasiliti air buangan selaras dengan keperluan mandatori Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menguruskan sisa minyak sawit secara mampan.

 

Di Malaysia, proses ini dikawal selia oleh beberapa buah badan, termasuk MPOB dan Jabatan Alam Sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (1974) untuk memastikan kesan buruk biogas terhadap alam sekitar dapat dikurangkan dengan berkesan.

 

JPG menetapkan penanda aras baharu dalam industri dengan bukan sahaja menangkap biogas daripada POME, namun juga mengambil langkah seterusnya dengan menukar biogas kepada gas biometana. Langkah ini lebih signifikan kerana gas biometana adalah lebih bersih, cekap dan juga boleh digunakan secara komersial kerana ianya boleh digantikan dengan gas asli.

 

Gas biometana melepaskan jauh lebih sedikit karbon dioksida (CO₂) berbanding arang batu atau petroleum, serta menghasilkan lebih sedikit bahan pencemaran udara seperti sulfur dioksida dan nitrogen oksida. Ini membantu mengurangkan kesannya terhadap perubahan iklim. Ia juga merupakan "bahan api peralihan" yang efektif dalam menyokong peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan menyediakan alternatif kepada gas asli yang dihasilkan oleh industri minyak dan gas.

 

 

jpg
Pemandangan hadapan kilang gas biometana milik Johor Plantations

 

 

Mengambil Peluang Baharu dalam Kemampanan

JPG menghasilkan biometana dengan memanfaatkan gas ini sebagai satu bentuk sumber tenaga hijau yang selamat daripada sumber domestik secara komersial. Satu langkah penting dalam perjalanan ini ialah penubuhan JPG Greenergy Ventures (JPGGV), sebuah usaha sama antara JPG dan MTC Orec Sdn Bhd sebagai pembekal teknikal. Kerjasama ini menggabungkan operasi minyak sawit JPG dengan kepakaran tenaga boleh diperbaharui MTC Orec bagi menjayakan penghasilan gas biometana daripada POME di kilang minyak sawit Sedenak milik JPG.

 

Berdasarkan pencapaian ini, JPGGV pada tahun 2019 telah menandatangani satu perjanjian pembelian yang signifikan dengan Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV), sebuah anak syarikat Gas Malaysia Berhad (GMB).

 

Projek bernilai RM25 juta ini menandakan satu pencapaian apabila JPG komited untuk menyuntik sekurang-kurangnya 250,000 MMBtu gas biometana ke dalam Sistem Pengedaran Gas Asli selama 15 tahun.

 

Hubungan JPG dengan GMGV diperkukuhkan lagi dengan sebuah lagi perjanjian pembelian gas antara anak syarikat JPG, JPG Greenergy, untuk membekalkan sekurang-kurangnya 350,000 MMBtu biometana mampat selama 15 tahun. Gas biometana ini akan diperoleh daripada dua buah loji baharu yang sedang dalam pembinaan di Tereh dan Sindora.

 

Usaha perintis JPG dalam kemampanan telah diiktiraf dengan penganugerahan status BioNexus, sebuah status berprestij yang dianugerahkan oleh Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi) kepada JPGGV. Status ini mengiktiraf komitmen JPGGV terhadap penyelidikan bioteknologi dan membolehkan akses kepada insentif yang bernilai, pembiayaan dan peluang untuk menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tempatan.

 

Dengan peluang yang ada ini, teras biotenaga baharu JPG dijangka menghasilkan kapasiti sehingga 676,000 MMBtu dan menjana margin keuntungan kasar sekitar 40% hingga 50% setahun dalam tempoh lima tahun dari 2024 hingga 2028.

 

Tanggungjawab terhadap Masa Depan

Penangkapan biogas dan penukarannya kepada gas biometana untuk kegunaan komersial secara besar-besaran dalam industri sawit adalah penting dalam menyokong usaha global untuk memerangi perubahan iklim. Ini kerana gas metana mentah yang dilepaskan ke atmosfera merupakan gas rumah hijau (GHG) yang mampu memerangkap 80 kali lebih haba berbanding gas karbon dioksida dalam tempoh 20 tahun.

 

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia menyasarkan tenaga boleh diperbaharui, termasuk biometana, untuk menguasai 70% daripada jumlah kapasiti tenaga yang dipasang menjelang tahun 2050. Langkah ini akan terus meningkatkan permintaan global yang semakin bertambah daripada kerajaan, syarikat dan organisasi lain untuk tenaga yang bersih dan dihasilkan secara mampan.

 

 

jpg
Kilang Biomethane Sindora akan membekalkan gas biometena dalam bentuk tube skids Gas Asli Bio Termampat (BioCNG)

 

 

JPG bersedia untuk berada di barisan hadapan untuk membawa industri ke arah memenuhi permintaan tenaga bersih, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Dengan menjadi perintis dalam mengkomersialkan pengeluaran gas biometana daripada POME, JPG sedang berusaha ke arah menormalisasikan usaha mampan dalam mengurangkan GHG dan mempromosikan landskap tenaga yang lebih bersih.

 

Inisiatif ini, yang dijangka mengelakkan pelepasan GHG sekitar 217,543 tan metrik setara CO2, menggariskan impak transformasi penyelesaian pengurusan sisa dalam industri kilang kelapa sawit. Ia juga mencerminkan penjajaran JPG dengan aspirasi tenaga boleh diperbaharui Malaysia dan matlamat kemampanan alam sekitar.

 

JPG sebagai Syarikat Sawit Generasi Akan Datang

Pendekatan strategik untuk menukar sisa buangan menjadi sumber hasil ini membolehkan JPG meningkatkan kecekapan tenaga sambil mengukuhkan dirinya sebagai peneraju dalam amalan pertanian mampan. Ini adalah selaras dengan misi transformasi JPG, iaitu untuk menghasilkan keperluan yang mampan bagi insan sejagat dengan tujuan mengharmonikan pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

 

Teras biotenaga JPG juga akan memacu aspirasi syarikat untuk menjadi antara pengeluar minyak dan lemak premium yang utama di dunia dengan kemampanan dan kebolehkesanan. Melalui komitmennya terhadap inovasi, kecekapan sumber dan pembezaan pasaran, JPG akan dapat mencapai pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang yang akan mencipta impak positif terhadap alam sekitar dan masyarakat.

 

Dengan meneruskan penerokaan penyelesaian inovatif dan memanfaatkan kepakaran syarikat dalam industri sawit, JPG kekal komited untuk menjadi syarikat sawit generasi baharu yang akan membina masa depan mampan untuk alam sekitar dan generasi akan datang.  - DagangNews.com