KUALA LUMPUR 19 Mac - Tidak sampai tiga bulan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Heitech Padu Bhd, Hasrul Azuan Mohd Yusof melepaskan jawatan itu berkuat kuasa 19 Mac 2025.
Heitech Padu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysai berkata, Hasrul Azuan meletakkan jawatan itu bagi meneroka peluang lain.
"Lembaga pengarah kumpulan sudah memulakan proses rasmi mengenal pasti calon untuk jawatan CEO dan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai," katanya.
Hasrul Azuan, 45, sebelum ini dilantik menjadi CEO Heitech Padu berkuat kuasa 23 Disember 2024, menggantikan Salmi Nadia Mohd Hilmey, 42, yang meletakkan jawatan untuk meneroka peluang dan minat lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Heitech Padu lantik Hasrul Azuan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 23 Disember 2024
Beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan perniagaan dan mahir dalam mengendalikan selok-belok perniagaan.
Sebelum menyertai syarikat perkhidmatan sistem dan rangkaian bersepadu tersebut, beliau merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pembangunan Perniagaan di Malayan Banking Bhd.- DagangNews.com








