Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 13 April - Platform perdagangan terkemuka di Asia, Pine Labs mengambil alih platform teknologi kewangan pengguna, Fave yang berkembang pesat di Asia Tenggara.
Pengambilalihan tersebut dibuat melalui satu perjanjian bernilai AS$45 juta atau RM185 juta.
Pengambilalihan berkenaan akan membolehkan pengguna di India menggunakan aplikasi Fave pada hujung tahun ini untuk menikmati penjimatan di rangkaian terdiri daripada 500,000 pedagang yang disokong oleh Pine Labs di 3,700 bandar negara berkenaan.
Usaha tersebut akan membantu kedua-dua syarikat merancakkan pertumbuhan masing-masing di rantau Asia dan meneroka potensi pengguna yang besar menerusi pasaran runcit, makanan & minuman (F&B), fesyen, dan barang pengguna cepat laris (FMCG).
Gandingan dan perjajian bersama Pine Labs turut memberi kelebihan dan mengukuhkan lagi kedudukan Fave di pasaran Asia Tenggara.
Fave telah membolehkan enam juta pengguna di Asia Tenggara menjimatkan lebih AS$400 juta di 40,000 peruncit sejak 2016.
Mengulas berkaitan pengambilalihan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Pine Labs, B. Amrish Rau berkata, pihaknya teruja untuk berganding dengan Fave dalam perjalanan baharu di Asia Tenggara dan India.
"Pengguna kini mempunyai pilihan yang sangat luas dalam jenis pembayaran mereka. Mereka amat mengutamakan penjimatan bagi setiap urus niaga.
"Fave membantu pengguna memanfaatkan ganjaran, kupon, kad hadiah, dan pulangan tunai pada semua urus niaga secara sempurna. Joel dan pasukan Fave telah membina asas pengguna setia menerusi pengalaman pembayaran yang mudah dan lancar," jelasnya.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh memberitahu, pihaknya turut berbesar hati untuk bekerjasama dengan Amrish dan pasukan Pine Labs untuk terus mengembangkan platform Fave ke seluruh rantau Asia.
"Pine Labs merupakan rakan kerjasama dan pelabur kami yang hebat. Justeru, kami bertekad menggembleng tenaga dan mengorak langkah ke arah visi bersama kami untuk membina platform pengguna dan saudagar yang benar-benar global.
"India mempunyai kelebihan digital, berbekalkan demografi yang muda, serta peningkatan kelas pertengahan dengan pendapatan boleh guna yang semakin meningkat dan semakin celik digital. Kami yakin landskap pembayaran elektronik di Asia Pasifik akan terus mencapai pertumbuhan eksponen dalam dekad akan datang," tambah beliau. - DagangNews.com