Pinjaman bank meningkat selepas pilihan raya negeri, CGS-CIMB kekal 'overweight' terhadap sektor perbankan | DagangNews Skip to main content

Pinjaman bank meningkat selepas pilihan raya negeri, CGS-CIMB kekal 'overweight' terhadap sektor perbankan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Pertumbuhan pinjaman bank telah meningkat bulan ke bulan (mom) susulan pilihan raya negeri yang berlangsung pada 12 Ogos sebanyak 0.7% pada Ogos berbanding purata kenaikan 0.2% dalam tujuh bulan sebelumnya, menurut CGS-CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu positif terhadap trend menurun pertumbuhan pinjaman industri (kepada 4.2% tahun ke tahun (yoy) pada akhir Julai) yang berhenti seketika pada Ogos memandangkan pertumbuhan pinjaman kekal 4.2% yoy pada akhir Julai dan akhir Ogos (naik 5.3% yoy untuk pinjaman isi rumah dan 0.7% yoy untuk pinjaman perniagaan akhir Ogos).

 

“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kami kerana sentimen perniagaan akan bertambah baik berikutan pilihan raya negeri pada 12 Ogos, dengan kerajaan perpaduan mengekalkan kawalan kerajaan negeri di tiga negerinya, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

 

“Ini akan mengurangkan risiko perubahan dalam kerajaan persekutuan dan meningkatkan kestabilan politik di Malaysia, pada pandangan kami,” katanya dlaam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu trend positif pinjaman yang mencatat pertumbuhan kukuh 11% hingga 13% mom dalam permohonan dan kelulusan pinjaman pada Ogos, di mana permohonan pinjaman dalam perniagaan mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM139.1 bilion pada bulan tersebut.

 

“Berdasarkan ini, kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman industri sekurang-kurangnya mampan pada kadar 4.2% yoy (untuk akhir Ogos) sehingga akhir tahun ini, dengan kecenderungan menaik, untuk mencapai unjuran pertumbuhan pinjaman kami bagi 2023 sebanyak 4% hingga 5%,” tambahnya.

 

Sementara itu, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) hanya meningkat 6 mata asas dalam 8M23 kepada 1.78% pada akhir Ogos dan CGS-CIMB tidak menjangkakan ia melepasi unjuran 2% hingga akhir tahun.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘overweight’ berdasarkan potensi hapus kira dalam tindanan pengurusan dan peningkatan nisbah pembayaran dividen.

 

Pilihan utamanya bagi sektor perbankan adalah RHB Bank Bhd dengan saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) RM6.56 sesaham, berdasarkan penilaiannya yang menarik (nisbah harga kepada pendapatan bagi 2024 sebanyak 6.9 kali) dan hasil dividen menarik pada 6.8% bagi tahun ini.

 

Sementara itu, saham Hong Leong Bank (tambah, TP: RM25.30) juga mendapat perhatian berikutan daya tahan bank itu terhadap risiko kredit (mempunyai salah satu nisbah pinjaman terjejas kasar terendah dalam sektor ini) dan prospek pertumbuhan (daripada pertumbuhan pinjaman melebihi industri dan pengembangan pantas sumbangan daripada Bank of Chengdu).

 

Manakala bagi Public Bank Bhd (tambah, TP RM5.10), firma itu menjangkakan potensi hapus kira tindanan pengurusan (yang berjumlah RM1.8 bilion pada akhir Jun) dan kemungkinan peningkatan dalam nisbah pembayaran dividen. - DagangNews.com