PKP 2.0 dijangka jejaskan prestasi jualan perdagangan borong & runcit 1Q21 | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 dijangka jejaskan prestasi jualan perdagangan borong & runcit 1Q21

perdagangan borong & runcit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac. - Prestasi perdagangan borong dan runcit negara pada suku pertama 2021 (1Q21) dijangka terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kali kedua (PKP 2.0).

 

MIDF Research berkata, perintah kawalan tersebut telah mengehadkan aktiviti pengguna serta operasi perniagaan sekali gus mengurangkan jumlah permintaan.

 

"PKP 2.0 turut memberi kesan kepada aktiviti pelancongan domestik selain penutupan sempadan antarabangsa.

 

"Kami juga menjangkakan kelembapan pemulihan pasaran tenaga kerja kerana sesetangah perniagaan mungkin akan menangguhkan pengambilan pekerja susulan aktiviti dan pendapatan perniagaan yang perlahan dalam tempoh PKP 2.0," jelas MIDF Research.

 

Prestasi perdagangan borong dan runcit pada Januari penyaksikan penyusutan -2.7% tahun ke tahun kepada RM111.7 bilion.

 

Penurunan yang paling ketara sejak Julai 2020 itu berpunca daripada penurunan kesemua sub-komponen akibat pelaksanaan PKP 2.0.

 

Baca: Jualan perdagangan borong dan runcit Januari 2021 susut 2.7%

 

Segmen kenderaan bermotor menguncup 13.8% atau selepas cemerlang selama enam bulan berturut-turut pada sebelumnya.

 

Jualan kenderaan bermotor menjunam 17.6% kepada RM5.3 bilion pada Januari.

 

Indeks volum Kenderaan Bermotor merosot -13.1% tahun ke tahun untuk mencapai  90.6 mata.

 

Penurunan tersebut disumbangkan oleh Jualan Kenderaan Bermotor (-16.8%) dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal (-11.4%) sekali gus menjadikan indeks volum pelarasan musim bagi subsektor tersebut menurun 18.2% bulan ke bulan. - DagangNews.com