PLB Engineering raih keuntungan RM10.76 juta daripada pelupusan tanah Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

PLB Engineering raih keuntungan RM10.76 juta daripada pelupusan tanah Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - PLB Engineering Berhad melupuskan dua lot tanah seluas 0.9 hektar bernilai RM26.21 juta di Pulau Pinang dan menghasilkan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM10.76 juta.

 

Kos asal pelaburan bagi tanah itu ialah RM8.38 juta.

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya PLB Land Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian jual beli dengan Milenium Baru Sdn. Bhd. pada 7 Ogos untuk pelupusan itu.

 

Pembayaran pelupusan akan dilakukan dalam tiga peringkat melalui pembayaran peratusan 10-10-80 dengan pembayaran 10% pertama akan dilakukan selepas perjanjian itu dilaksanakan dan akan diikuti dengan pembayaran 10% lagi dalam tempoh tiga bulan perjanjian.

 

"Baki 80% perlu dibayar oleh Milenium Baru dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian dan kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan pelanjutan satu bulan dengan kadar faedah 5% ke atas jumlah baki yang belum dibayar yang dikira pada setiap hari," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Milenium Baru ialah unit M Summit Corporation Sdn. Bhd. yang terlibat dalam perniagaan pembangunan hartanah, pembinaan bangunan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

 

PLB Engineering berkata, pelupusan itu menyediakan ruang kepada kumpulan untuk meningkatkan aliran tunainya pada masa yang sama.

 

Kumpulan itu telah memperuntukkan RM15.83 juta daripada hasil pelupusan untuk modal kerja dengan baki RM10.38 juta digunakan untuk menebus pinjaman bank. 

 

Kedua-duanya dijangka digunakan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dari tarikh siap. - DagangNews.com