KUALA LUMPUR 31 Okt - Kerajaan akan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 menerusi dua fasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, fasa 1 melibatkan pelajar tingkatan empat melalui silibus Kementerian Pendidikan, yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Menurutnya, pelajar tingkatan lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai dasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.
“PLKN fasa 1 membabitkan penglibatan di fasa sekolah, manakala PLKN fasa 2 pula selepas fasa sekolah, iaitu selepas peperiksaan SPM.
"Selepas pembabitan belia dalam PLKN ini, mereka akan disambut oleh agensi lain sebagai kesinambungan kelahiran mereka daripada program ini," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web rasmi Parlimen semalam.
Mohamad berkata, tempoh pelaksanaan PLKN fasa 2 bagaimanapun tidak mengambil masa lama seperti sebelum ini iaitu 45 hari, lapor Sinar Harian.
"Sebanyak 90% daripada kandungan latihan Fasa 2 ini berkaitan ketenteraan agar dapat membina jati diri belia yang kuat dan bertenaga.
"Baki 10% daripada kandungan lagi adalah berkaitan tatanegara. Selepas itu, agensi-agensi seperti bomba, polis dan pertahanan awam dapat melihat produk modal insan ini sebagai penyediaan kepada guna tenaga belia yang terlatih," ujarnya. - DagangNews.com