PLUS rangkul anugerah perak strategi pengurusan krisis terbaik di Singapura | DagangNews Skip to main content

PLUS rangkul anugerah perak strategi pengurusan krisis terbaik di Singapura

Pemangku Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Iskandar Dzulkili (kanan) menerima Anugerah Perak bagi Kategori Strategi Pengurusan Krisis Terbaik pada Anugerah Perhubungan Awam 2023 yang berlangsung di Singapura pada 27 April 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Strategi Pengurusan Krisis Terbaik pada Anugerah Perhubungan Awam 2023 anjuran Marketing-Interactive (Marketing-Interactive 2023 PR Awards) yang berlangsung di Singapura, semalam.

 

PLUS dalam kenyataan berkata, pihaknya menerusi pencalonan projek 'RFID Rollout Blowout!', merupakan antara 6 finalis dari rantau ini termasuklah organisasi dari Amerika Syarikat, Indonesia dan Singapura.

 

Katanya, pasukan Komunikasi Korporat PLUS telah merangka dan melaksanakan strategi pengurusan krisis bagi menangani isu-isu persepsi awam yang bangkit apabila sistem RFID dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Januari 2022. 

 

"Hasil daripada strategi pengurusan krisis tersebut, isu-isu awam yang berkait rapat dengan tanggapan serta persepsi terhadap pelaksanaan RFID telah dapat ditangani.

 

"Kini semakin ramai yang beralih kepada sistem RFID, seiring dengan hasrat kerajaan melaksanakan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) pada masa yang akan datang," katanya. - DagangNews.com