PM Anwar digesa contohi Indonesia beri bantuan perayaan sebulan gaji kepada pekerja - SPCAAM | DagangNews Skip to main content

PM Anwar digesa contohi Indonesia beri bantuan perayaan sebulan gaji kepada pekerja - SPCAAM

Kajian KWSP mendedahkan individu di Lembah Klang menghabiskan lebih 90% daripada gaji bulanan ke arah aktiviti sosial dan perayaan tahunan. - Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mandat terhadap semua majikan supaya memberikan sekurang-kurangnya sebulan gaji sebagai bantuan perayaan.

 

Presiden SPCAAM, J Solomon berkata, ia akan memperkasakan pekerja B40 dan M40 dalam meraikan sambutan dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan merentasi pelbagai agama, memaparkan kekayaan sebenar Malaysia.

 

Beliau berkata, kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 'Belanjawanku' mendedahkan individu di Lembah Klang menghabiskan hampir sebulan gaji (lebih 90% daripada gaji bulanan) ke arah aktiviti sosial dan perayaan tahunan.

 

"Namun, kos hidup yang semakin meningkat membelenggu tradisi ini, khususnya bagi mereka dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40. Bagi menangani isu ini, pada 2023, Kerajaan Selangor dengan murah hati memberikan sebulan gaji sebagai bantuan perayaan untuk pekerjanya, satu tindakan yang dialu-alukan dan diraikan.

 

"Susulan itu, hasil pembelaan berterusan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), bank-bank turut memberikan bantuan serupa kepada pekerja mereka pada 2023. Bagaimanapun, tindakan menarik balik sokongan itu tahun ini, walaupun telah ada perjanjian sebelum ini, amat mengejutkan dan membingungkan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Solomon berkata, Indonesia menunjukkan contoh luar biasa, apabila mewajibkan pemberian gaji sebulan sebagai bantuan perayaan untuk pekerjanya. 

 

Katanya, amalan itu amat membantu khususnya bagi pekerja berpendapatan rendah, dengan memastikan semangat perayaan terus dirasai tanpa dibelenggu kebimbangan kewangan. 

 

 

SPCAAM

 

 

"Banyak syarikat yang beroperasi di sini juga beroperasi di Indonesia termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mereka membayar sebulan gaji untuk pekerja di Indonesia," katanya.

 

Beliau berkata, amat mengecewakan apabila segelintir majikan di Malaysia menarik balik bantuan seumpama itu, tindakan yang nampaknya meremehkan manfaat asas pekerja dan arahan jelas PMX untuk mementingkan kebajikan pekerja. 

 

Katanya, ia terutamanya dilihat apabila kebanyakan syarikat berkenaan, termasuk GLC menikmati keuntungan tinggi yang sebahagiannya boleh saja dikongsikan sebagai bantuan perayaan.

 

"Keutamaan diberikan kepimpinan PMX terhadap kebajikan pekerja berbanding keuntungan ekonomi semata-mata memang sesuatu yang terpuji. Kini penting supaya pihak GLC mematuhi arahan ini, untuk menjadi tunggak sokongan bagi tenaga kerja kita dan memberikan inspirasi kepada sektor swasta supaya turut berbuat demikian," katanya.

 

Katanya, memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi pada 2024, ditambah pula dengan peningkatan keuntungan dinikmati pihak majikan, penarikan bantuan perayaan jelas sesuatu yang tidak dapat dijustifikasikan. - DagangNews.com