PM Anwar: Isu keciciran murid dalam pendidikan akan ditangani secara tuntas | DagangNews Skip to main content

PM Anwar: Isu keciciran murid dalam pendidikan akan ditangani secara tuntas

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan murid-murid ketika sesi lawatan mengejut meninjau keadaan infrastruktur dan fasiliti di Sekolah Kebangsaan Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kerajaan cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan yang akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Anwar berkata, sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9), Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan. 

 

"Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas," katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0. 

 

Katanya, matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. 

 

"Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan bakat tersedia masa hadapan. Pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik. 

 

Katanya, pendidikan ini diharap dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.

 

Pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik akan disokong dengan pembentukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

 

"Pendidikan Tingkatan 6 akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti. 

 

"Kerajaan akan terus memastikan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertingkatkan  penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan komited untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Dalam hubungan ini, tenaga pengajar TVET akan digalakkan untuk menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula. 

 

Katanya, usaha ini bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi baru muncul.

 

"Bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan bersama GLC dan syarikat swasta dalam transformasi program TVET, inisiatif menggalakkan penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET telah diberikan keutamaan. 

 

"Sehingga Julai tahun ini, sebanyak 43 memorandum persefahaman telah dimeterai antara Kerajaan dengan 14 GLC dan 29 syarikat swasta, melibatkan 12 kementerian berkaitan TVET.

 

"Memorandum ini merangkumi skop kerjasama seperti sumbangan kepakaran, sumbangan peralatan, pembangunan kurikulum dan penajaan latihan," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya, iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah. 

 

"Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya," katanya.

 

Katanya, menyedari hampir 50% lepasan SPM tidak menyambung pelajaran, kerajaan telah membuka ruang kepada anak muda ini untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji berpatutan. 

 

"Kerajaan, melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI), akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta untuk usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan. Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12," katanya.

 

Katanya, usaha memantapkan pembudayaan masyarakat dan pembangunan modal insan MADANI melalui penerapan konsep karamah insaniah dalam kalangan masyarakat akan diperluas. 

 

"Konsep ini akan memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan pembangunan sahsiah. Ini bagi membentuk jati diri dan melahirkan generasi yang berdaya tahan serta berdaya saing," katanya. - DagangNews.com