PM umum tol percuma untuk dua hari sempena pulang mengundi pada PRU15 | DagangNews Skip to main content

PM umum tol percuma untuk dua hari sempena pulang mengundi pada PRU15

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tawaran kadar tol percuma selama dua hari kepada para pengguna sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

 

Ismail Sabri berkata, tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 pada pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November 2022, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90% dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

 

"Bagi memudahkan pengundi balik mengundi, kerajaan ingin memaklumkan 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari kepada para pengguna sempena hari PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022.

 

"Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta.

 

"Tawaran pemberian tol percuma ini diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuhraya pada minggu lalu.

 

"Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap akan ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan pada setiap lima tahun sekali," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Cuepacs Pancarona Presint 18, Putrajaya hari ini.

 

 

pm

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Cuepacs Pancarona Presint 18, Putrajaya pada 14 November 2022.

 

 

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan November 2022 diawalkan pada 17 November 2022 dan bagi pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November 2022.

 

"Perkara ini diharap dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, sewaktu beliau diberi amanah untuk menerajui kerajaan, negara berdepan dengan cabaran ekonomi dan pandemik COVID-19 yang telah mengubah cara kehidupan rakyat.

 

"Antara perkara pertama yang saya lakukan adalah membuka semula sektor ekonomi dan juga pintu sempadan negara serta memperkasa usaha vaksinasi COVID-19 agar kehidupan dan keselamatan rakyat dapat dipelihara dengan baik.

 

 

pm

 

 

"Alhamdulillah, prestasi ekonomi negara telah kembali ke arah momentum pemulihan yang cukup baik. Terbaharu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2022 telah mencatat pertumbuhan 14.2%, lebih kukuh berbanding 8.9% pada suku kedua dan 5% pada suku pertama tahun ini.

 

"Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara juga berkembang sebanyak 9.3%, tertinggi sejak tahun 2000 atau lebih dua dekad yang lalu," katanya.

 

Beliau berkata, pada tahun ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif baharu yang turut dinikmati oleh penjawat awam antaranya, pembiayaan insuran kenderaan melalui myezycover.com bagi pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan yang boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah.

 

 

pm

 

 

"Kedua, meneruskan Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100 juta untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Ketiga, memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar yang turut merangkumi jam tangan pintar.

 

"Keempat, membenarkan pegawai yang baru kematian suami atau isteri untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari Cuti Tanpa Rekod (CTR) tamat.

 

"Selain itu, saya turut mengumumkan beberapa imbuhan kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos lalu yang juga terkandung di dalam Bajet 2023 seperti, kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari.

 

"Kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50% juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari, menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak 5 hari menjadi 15 hari," katanya.

 

 

pm

 

 

Selain itu, kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara kerajaan sebanyak RM350, katanya.

 

"Ini termasuk Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023. Insya-Allah, jika kerajaan hari ini diberi mandat semula selepas PRU15, saya beri jaminan kesemua pengumuman yang dibuat semasa majlis MAPPA dan di dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan," katanya. - DagangNews.com