PMI pembuatan Malaysia Jun 2024 kembali bawah ambang 50 mata akibat permintaan lebih perlahan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

PMI pembuatan Malaysia Jun 2024 kembali bawah ambang 50 mata akibat permintaan lebih perlahan - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Julai - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia yang kembali ke bawah tahap ambang 50 mata dalam bulan Jun 2024 disebabkan permintaan yang lebih perlahan.

 

Kenanga Research berkata, PMI pembuatan Malaysia menyusut sedikit kepada 49.9 pada Jun, berbanding Mei, 50.2 yang dipengaruhi oleh permintaan dan tahap pekerjaan tidak berubah walaupun terdapat peningkatan dalam pesanan baharu.

 

"Pesanan baharu berkembang selama dua bulan berturut-turut walaupun pada kadar yang lebih perlahan, disokong oleh peningkatan dalam eksport.

 

"Pembelian inventori kekal perlahan pada bulan Jun, dipengaruhi oleh kecendurungan pengilang untuk mendapatkan stok pada kadar yang lebih sedikit, memandangkan telah mencapai pertengahan tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, kata Kenanga Research, prestasi perdagangan dan pelaburan yang memberangsangkan akan mempercepat pemulihan sektor pembuatan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kekurangan pertumbuhan akibatkan PMI Pembuatan Malaysia kekal di bawah ambang 50 mata - TA Securities

 

"Kami menjangkakan peningkatan yang signifikan dalam sektor pembuatan, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pelaburan langsung asing yang kukuh ke Malaysia yang besar pengaruhnya oleh dasar pelaburan yang baik Malaysia untuk pelabur asing. 

 

"Pasaran buruh yang positif yang akan digerakkan daripada pelaksanaan dasar gaji progresif yang akan datang akan lebih meningkatkan produktiviti buruh. 

 

"Ini boleh menjadi sokongan tambahan bagi pemulihan dalam sektor pembuatan," jelasnya.

 

Selain itu, Kenanga Research percaya bahawa peningkatan dalam industri semikonduktor global ditunjangi permintaan sektor teknologi dan komputer bersama dengan pemulihan ekonomi China, akan memberi manfaat lebih lanjut kepada Malaysia.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran positif kami terhadap pertumbuhan KDNK pada kadar 4.5%-5.0% pada tahun 2024, sejajar dengan ramalan BNM dan Kementerian Kewangan," ujarnya.

 

Semalam dilaporkan PMI pembuatan S&P Global Malaysia diselaraskan mengikut musim mencatatkan 49.9 pada Jun 2024.

 

Pengarah Ekonomi S&P Global Market Intelligence Andrew Harker berkata Jun merupakan bulan kestabilan bagi pengeluar Malaysia susulan daripada pertumbuhan yang dilihat pada Mei.

 

Dari aspek positif, katanya syarikat sekali lagi dapat membawa masuk jumlah kerja baharu yang lebih besar tetapi masih terdapat beberapa laporan permintaan yang kekal rendah. - DagangNews.com