Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - Poly Glass Fibre (M) Bhd mengumumkan Kumpulan telah memutuskan untuk melabur dalam kemudahan pembuatan fabrik cair baharu.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Poly Glass Fibre berkata, kemudahan tercanggih baharu itu akan dipasang di bangunan sedia ada Kumpulan di Prai, Pulau Pinang dan dijangka mula beroperasi pada 15 Januari 2022.
"Dengan pelaburan ini, jumlah kapasiti akan meningkat lima kali ganda," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, keputusan itu dibuat memandangkan Malaysia kini memasuki Pelan Pemulihan Nasional Fasa 4 dan sekolah serta sempadan telah dibuka semula.
"Rakyat Malaysia dan pelawat dijangka melakukan perjalanan lebih kerap dan tinggal di luar rumah untuk tempoh yang lebih lama.
"Banyak tempat pelancongan, pusat beli-belah dan kedai F&B dilihat beroperasi pada tahap pra-COVID," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, Lembaga Pengarah Syarikat memandang positif perkembangan tersebut dan mengharapkan permintaan untuk topeng muka dan fabrik cair akan kekal kukuh.
"Lembaga Pengarah juga berpendapat bahawa SOP pemakaian topeng tidak akan dilonggarkan dalam masa terdekat berikutan sikap berhati-hati kerajaan serta penemuan varian baharu," katanya.
Poly Glass Fibre merupakan sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan anak syarikat yang terlibat dalam pembuatan, pertanian, pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.
Sebelum ini syarikat itu dilaporkan berhasrat untuk mengumpul sehingga RM8 juta dengan menerbitkan 79.99 juta saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) untuk membiayai pengembangan perniagaannya dalam pembuatan dan ekopelancongan manakala bakinya akan digunakan sebagai modal kerja am. -DagangNews.com