Power Root meterai MoU eksklusif dengan Abbar Foods untuk edar serbuk minuman di Arab Saudi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Power Root meterai MoU eksklusif dengan Abbar Foods untuk edar serbuk minuman di Arab Saudi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Pembuat minuman, Power Root Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengedar Arab Saudi, Abbar & Sons Food Co. Ltd. (Abbar Foods).

 

Melalui MoU ini, Abbar Foods akan mengedar serbuk minuman Alicafe dan Alitea ke seluruh Arab Saudi.

 

Arab Saudi merupakan salah satu daripada tiga pasaran eksport teratas Power Root selain eksportnya ke lebih 40 negara di seluruh dunia, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Singapura, Kuwait dan China.

 

Di samping itu, pasaran luar negara membentuk 41% daripada jumlah pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22), menyumbang RM143.8 juta daripada jumlah pendapatan RM347.9 juta.

 

Pengerusi Bersama Power Root Berhad, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj berkata MoU tersebut membolehkan Power Root meningkatkan rangkaian pengedaran untuk memperluaskan jangkauan kepada pelanggan akhir melalui pasar raya besar dan pasar raya serta kedai runcit.

 

 

Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj
Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj

 

 

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama tersebut membantu kumpulan memanfaatkan budaya minum kopi dan teh dengan lebih berkesan di Arab Saudi.

 

“Daya tahan ekonomi Arab Saudi merupakan petunjuk positif pemulihan ekonomi dan menetapkan platform yang kondusif untuk MoU baharu kami dengan Abbar Foods meningkatkan lagi sumbangan.

 

Kami di Power Root optimis dengan kerjasama ini dan percaya ia akan memacu pendapatan eksport kumpulan," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ditubuhkan pada tahun 1955, Abbar Foods telah mencipta reputasi yang dipercayai dalam mengedarkan rangkaian produk pengguna yang pelbagai termasuk minuman berjenama antarabangsa dan domestik, pastri dan manisan, produk tenusu, rempah ratus, sos dan kuih-muih.

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut, Abbar Foods mempunyai rangkaian pengedaran meluas dengan lebih daripada 8,500 titik sentuh termasuk 1,000 rakan perdagangan moden, yang disokong oleh komponen bersepadu gudang, cawangan jualan, tenaga jualan dan operasi logistik di seluruh negara itu.

 

Tambahnya, Arab Saudi melaporkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang paling pesat berkembang dalam kalangan semua negara G20 sebanyak 8.7% pada 2022, walaupun menghadapi cabaran global yang berterusan. -DagangNews.com