PR1MA kemuka cadangan pelaburan strategik RM8.1 bilion kepada QIA | DagangNews Skip to main content

PR1MA kemuka cadangan pelaburan strategik RM8.1 bilion kepada QIA

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani (kanan) sempena lawatan rasmi tiga hari ke Qatar di Amiri Diwan hari ini. - Gambar Bernama
Daripada Nor Hasliza Abdullah

DOHA 29 Mac – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah mengemukakan cadangan pelaburan strategik bernilai RM8.1 bilion kepada Qatar Investment Authority (QIA) bagi meneroka peluang-peluang pelaburan di Malaysia terutama dalam sektor perumahan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan Qatar telah menyatakan persetujuan untuk QIA berbincang secara lanjut dengan PR1MA, khususnya dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

 

Katanya persetujuan itu disampaikan sendiri oleh Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dalam pertemuan mereka selepas majlis sambutan rasmi lawatan beliau di Amiri Diwan pagi tadi.

 

“Sasaran yang diberikan setakat ini adalah untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Qatar hari ini.

 

Ismail Sabri berkata QIA turut menerima baik kunjungan dan cadangan daripada PR1MA itu yang disampaikan sendiri oleh Pengerusinya Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya. - DagangNews.com