Prasarana catat peningkatan konsisten 1.1 juta pengguna sehari setakat November 2023 | DagangNews Skip to main content

Prasarana catat peningkatan konsisten 1.1 juta pengguna sehari setakat November 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pemilik serta pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar negara, mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten dengan hampir 1.1 juta sehari setakat 30 November 2023.

 

Daripada jumlah tersebut, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119 merangkumi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710 dengan angka penggunaan harian tertinggi berjumlah 1.2 juta pada 22 November 2023. 

 

"Ini merupakan angka tertinggi bagi penggunaan harian perkhidmatan-perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik COVID-19, di mana pada awal 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari. 

 

"Pelbagai inisiatif berterusan diambil oleh pihak Prasarana serta Rapid Rail dan Rapid Bus bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, yang menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten," katanya.

 

Mengulas tentang perkhidmatan Rapid Rail, Prasarana berkata ia telah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle) sejak September lalu. 

 

"Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024. Pada ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata tiga minit.

 

"Penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan sejak dilancarkan sepenuhnya pada Mac lalu iaitu sebanyak 127,872 pengguna pada November, berbanding 122,720 pada bulan sebelumnya.

 

"MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada  November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada bulan sebelumnya.

 

"Angka ini dijangka bertambah menjelang Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan 4 minit," katanya.

 

Bagi perkhidmatan Rapid Bus, Prasaran menjangkakan 1,000 buah bas beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini.

 

"Pihak Prasarana komited dalam menambahbaik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam di bawah kendaliannya secara berterusan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna serta menggalak penggunaan pengangkutan awam, selari dengan agenda pengangkutan awam yang menyasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030," tambahnya. - DagangNews.com