Prasarana merevolusikan sistem pengangkutan negara melalui Pelan Tindakan Kelestarian 2023-2030 | DagangNews Skip to main content

Prasarana merevolusikan sistem pengangkutan negara melalui Pelan Tindakan Kelestarian 2023-2030

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Prasarana Malaysia Bhd melancarkan Pelan Tindakan Kelestarian 2023-g menggariskan hala tuju komprehensif serta komitmen terhadap pengawasan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat, yang akan merevolusikan sistem pengangkutan negara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pelan tindakan komprehensif itu akan melakarkan hala tuju negara ke arah masa depan lebih hijau, saksama dan makmur.

 

"Kami sedang membuka jalan untuk Malaysia yang dikuasakan tenaga bersih, dihubungkan sistem pengangkutan awam yang teguh dan inklusif, serta dipandu visi bersama tentang kelestarian masa depan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, majlis tersebut dilancarkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang turut dihadiri Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

 

 

prasarana

 

 

Prasarana giat meneruskan komitmennya untuk menukar armada basnya kepada bas elektrik.

 

Daripada jumlah 15 bas EV yang digunakan di Laluan BRT Sunway, syarikat itu akan menambah 100 bas EV ke armadanya yang lebih luas menjelang 2026 dan 481 lagi bas menjelang 2030.

 

Matlamat pihaknya untuk menggunakan 100% bas elektrik menjelang 2037, selain memulakan audit tenaga yang komprehensif dengan mengenal pasti peluang untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20% menjelang 2030, yang diterjemahkan kepada 15% pengurangan pelepasan karbon. 

 

Sebanyak 103 tapak merangkumi depoh rel dan bas, stesen dan hab telah dikenal pasti yang mana langkah penjimatan tenaga akan dilaksanakan.

 

Prasarana juga bekerjasama dengan Sunway Group untuk memasangsistem solar fotovoltaik (PV) di seluruh depoh dan stesen di sepanjang Laluan BRT Sunway, yang menjana 0.8MW tenaga bersih. 

 

Solar PV akan beroperasi menjelang suku kedua 2024 dengan anggaran pengurangan sebanyak 696 tan karbon dioksida setara pada tahun pertama. Unjuran penjimatan kos terkumpul berakhir 25 tahun ialah RM5 juta. - DagangNews.com