Prestasi Maxis kukuh pada suku ketiga 2020 | DagangNews Skip to main content

Prestasi Maxis kukuh pada suku ketiga 2020

 

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt. – Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 0.8% kepada RM364 juta pada suku ketiga tahun ini biarpun berdepan ketidaktentuan akibat impak pandemik COVID-19 pada ketika ini.

Menurut Maxis, prestasi cemerlang ini didorong oleh keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang teguh dan perbelanjaan operasi yang rendah.

EBITDA dinormalisasi Maxis kekal sihat walaupun sedikit menurun (4.1%) kepada RM924 berbanding RM964 juta pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Margin EBITDA yang dinormalisasi atas pendapatan perkhidmatan pula adalah 47.6% berbanding 49.7% pada tempoh sama pada tahun 2019,” kata Maxis dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil perkhidmatan meningkat 0.5% pada RM1,930 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan dalam segmen perniagaan teras mudah alih dan segmen fiber.

Syarikat telekomunikasi tersebut terus menerajui segmen pascabayar dengan sejumlah 3.5 juta pengguna berikutan migrasi prabayar ke pascabayar dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.8%.

Gokhan Ogut

Perniagaan teras mudah alih Maxis terus mendahului pasaran dengan rekod langganan pelan Hotlink Prepaid Unlimited dan MaxisONE yang memberangsangkan manakala pelan MaxisONE Prime pula merekodkan langganan utuh.

Lonjakkan penggunaan data Maxis sebanyak 28.8% dari tahun ke tahun dengan purata penggunaan data sebanyak 19.49GB sebulan didorong oleh kesan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan perintah ‘Work From Home’, serta lanjutan tempoh penebusan tawaran Internet Produktiviti (percuma) 1GB sehari.

Dalam persekitaran yang mementingkan peningkatan data, Maxis masih mendahului dan mempertahankan keunggulan rangkaiannya berbanding syarikat telekomunikasi lain melalui laporan sumber awam terutama untuk pengalaman video, permainan dan kelajuan muat turun.

Mengulas prestasi syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Gökhan Ogut berkata, ketangkasan syarikat dalam menyesuaikan diri dengan apa jua cabaran dan situasi semasa menyumbang kepada prestasi memberangsangkan ini.

Beliau menambah, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan pekerja, pelanggan dan komuniti selain memberi tumpuan untuk menyediakan kesalinghubungan yang boleh dipercayai dan pengalaman peribadi yang tiada tandingannya.

“Secara keseluruhan, prestasi Maxis pada suku ketiga tahun ini mencerminkan momentum syarikat untuk terus merangka strategi konvergen positif di kala kemelut pandemik COVID-19,” kata Ogut.  

Beliau menambah, pihaknya sentiasa berusaha untuk mengembangkan segmen solusi inovatif Maxis selain bekerjasama untuk merealisasikan impian digital organisasi-organisasi lain. - DagangNews.com