Priceworth International cadang ambil alih sepenuhnya pegangan dalam Melur Azim berharga RM46.7 juta | DagangNews Skip to main content

Priceworth International cadang ambil alih sepenuhnya pegangan dalam Melur Azim berharga RM46.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Priceworth International Berhad (PWI) menerusi Maxland Energy Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Chu Vui Khat dan Hayati Laada bagi mengambil alih 100% pegangan dalam Melur Azim Sdn. Bhd. berharga RM46.7 juta. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pengambilalihan pegangan itu adalah kerana hartanah milik Melur Azim terletak bersebelahan kompleks kayu dan limbungan PWI sedia ada dan sesuai untuk pengembangan perniagaan.

 

Katanya, ia juga boleh membantu meluaskan operasi limbungan kerana PWI telah mendapat lesen membina dan membaiki kapal daripada Jabatan Laut Malaysia untuk menjalankan pembaikan kapal dan kontrak bangunan sehingga 200 tan.

 

"Hartanah tersebut terletak di kawasan perindustrian khas mengikut Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Sabah dan dalam kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit Sandakan dengan kemudahan dan infrastruktur yang lengkap.

 

"Tanah-tanah tersebut membentuk saiz yang agak besar dan membolehkan pembangunan perindustrian dijalankan pada skala ekonomi," katanya.

 

Tiada aliran tunai yang diperlukan oleh PWI kerana harga akan dipenuhi melalui perjanjian penyelesaian antara PWI dan pembekal kayu untuk jumlah terhutang oleh pembekal kepada kumpulan itu.

 

Setelah selesai cadangan pengambilalihan, Melur Azim akan menjadi anak syarikat milik penuh Maxland Energy dan anak syarikat milik penuh tidak langsung PWI.

 

Cadangan pengambilalihan dijangka siap dalam tempoh sebulan. - DagangNews.com