Princeton Digital Group labur RM2 bilion bagi pembangunan fasa pertama pusat data 150MW di Taman Teknologi Sedenak | DagangNews Skip to main content

Princeton Digital Group labur RM2 bilion bagi pembangunan fasa pertama pusat data 150MW di Taman Teknologi Sedenak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mei - Penyedia perkhidmatan pusat data terkemuka di Asia, Princeton Digital Group membuat pelaburan benilai RM2 bilion bagi pembangunan fasa pertama pusat data hiperskala 150MW di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor.

 

Pembinaan fasa pertama itu melibatkan pembangunan 60MW selepas kumpulan itu memuktamadkan perjanjian pembelian tanah seluas 12.5 hektar STeP bersama JLand Group (JLG).

 

Pembangunan fasa pertama  dijadualkan akan siap untuk perkhidmatan menjelang suku kedua 2024. 

 

Projek itu menandakan penglibatan sulung Princeton dalam pasaran Malaysia, sebagai negara keenam selepas Singapura, China, Indonesia, India dan Jepun. 

 

Pusat data yang dinamakan JH 1 bakal menjadi antara kampus pusat data yang terbesar di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan infrastruktur pelanggan merentasi rantau ini. 

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation dan Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, tumpuan JL Land adalah untuk meluaskan perniagaan dalam bidang pusat data sambil memanfaatkan prospek sektor yang semakin berkembang.

 

Beliau berkata, menerusi tawaran bersepadu di STeP, pihaknya tetap komited untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai titik tumpuan pusat data serantau memandangkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah, penglibatanm PDG dalam Johor dan STeP adalah pengesahan kukuh strategi dan tawaran JLG.

 

"Dengan semakin banyak syarikat dan komuniti menumpukan usaha untuk memperkenalkan alat dan strategi digital generasi akan datang, permintaan bagi simpanan data yang boleh dipercayai, pintar dan berdaya tahan akan berkembang secara eksponen. 

 

"Justeru, kami perlu berusaha meningkatkan prestasi kelestarian pusat data menerusi platform Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT), pemantauan tenaga dan kuasa, dan teknologi pendinginan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor dan Pengerusi Johor Corporation, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Urusan PDG, Singapura, Aher Ling berkata, STeP merupakan tapak yang sesuai bagi pembangunan hiperskala dengan adanya infrastruktur kuasa dan ketersambungan yang kukuh, berganding faktor pemboleh lain. 

 

"Pusat data kami akan mengguna pakai penyelesaian teknologi lestari terkini dan kami aktif bekerjasama dengan rakan-rakan tempatan dan pihak berkuasa kawal selia untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui bagi membekalkan kuasa kepada kemudahan kami," katanya. 

 

JLG juga mengumumkan taman pusat data seluas 640 ekar yang dinamakan STeP 2, yang dijangka siap menjelang September 2024. 

 

Sebagai sebahagian daripada pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih besar, STeP 2 akan menerima bekalan tenaga daripada ladang solar fotovoltan sejajar dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).  

 

STeP 2 dijangka mendapat manfaat daripada persiapan IBTEC untuk mencapai status Pusat Siber Digital Malaysia (MD). - DagangNews.com