Pro-Net lantik EON sebagai pengedar rasmi kedua EV smart Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pro-Net lantik EON sebagai pengedar rasmi kedua EV smart Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) melantik cabang pemasaran automotif DRB-Hicom, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) sebagai pengedar rasmi smart Malaysia.

 

Pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit yang dilantik oleh Pro-Net. 

 

Terdahulu, Pro-Net mementerai perjanjian dengan Hap Seng Smart manakala lima lagi pengedar baru bakal diumumkan kelak.

 

Kerjasama tersebut juga mampu meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia ke arah memperkenalkan pemenang anugerah smart #1 pada suku keempat 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pihaknya yakin dengan pengetahuan dan pengalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-Hicom yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap lebih tinggi. 

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai prestasi cemerlang di dalam industri ini untuk memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pegalaman jenama premium," katanya.

 

Zhang berkata, pihaknya telah mencapai kemajuan yang menakjubkan sejak mula beroperasi pada tahun lalu.

 

proton

 

Katanya, dengan kehadiran model terbaharu smart #1 yang mengujakan, pihaknya yakin mampu memberikan sumbangan besar kepada masa depan mobiliti elektrik untuk pasaran Malaysia.

 

"Pelantikan pengedar yang bereputasi tinggi adalah salah satu strategi utama kami. Pro-Net akan mengumumkan beberapa lagi pelantikan pengedar baru smart kelak," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom, Akkbar Danial berkata, EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. 

 

 

proton

 

 

"Kami diterajui pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan.

 

"Kami memilih untuk memulakan perjalanan ulung kami dari bangunan ikonik kami di sepanjang koridor automotif Glenmarie untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan dari wilayah ini," katanya.

 

Dengan gabungan produk berteknologi tinggi dan rakan kongsi kukuh, serta komitmen menawarkan perkhidmatan pelanggan tahap baharu, Pro-Net kini sedia memberikan gambaran model kenderaan pintar masa depan, apabila perjalanan tersebut bakal bermula pada penghujung 2023. - DagangNews.com