Program Astro terus jadi tarikan penonton Melayu | DagangNews Skip to main content

Program Astro terus jadi tarikan penonton Melayu

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Astro mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pilihan peminat untuk program-program hiburan Ramadan dan Raya yang menawarkan pelbagai sajian menarik melebihi 370 program istimewa.

 

Menurut syarikat penyiaran itu, ia merekodkan sehingga 94% penonton berbangsa Melayu menonton saluran-saluran Melayu pada musim perayaan lalu, menerusi kempen lebaran tahun ini, 'Buka Lembaran Baharu'.

 

Jumlah tontonan program Ramadan dan Raya Astro (RARA) di platform On Demand merekodkan pertumbuhan yang cukup positif, dengan hampir 7 juta judul distrim menerusi Kotak Astro (televisyen) dan Astro GO. 

 

Ini merupakan kenaikan sebanyak 518% dari tahun sebelumnya kerana jelas dapat dilihat penonton memilih untuk menonton secara berterusan atau menonton semula program-program kegemaran masing-masing. 

 

Dalam pada itu, kadar tontonan menerusi peranti mudah alih di Astro GO terus mencatatkan kenaikan apabila menerima lebih 65,000 pendaftaran baharu sepanjang musim perayaan lalu. 

 

Antara tontonan yang berjaya menambat hati penonton termasuklah drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ merekodkan jumlah tontonan TV tertinggi sebanyak 2.5 juta seterusnya menjadikan ia Drama No. 1 pilihan rakyat Malaysia, dan sejumlah 4.8 juta episod di strim di Kotak Astro dan platform Astro GO.

 

Selain itu ‘Projek: Anchor SPM’ pula berjaya memenangi hati penonton generasi muda yang lebih terarah kepada platform digital menerusi jalan penceritaannya yang tampil berani dan segar. 

 

Siri premium ini merekodkan sejumlah 616 ribu tontonan TV, 1.1 juta episod telah distrim, 123 juta tontonan video di TikTok dan sebanyak 139 juta capaian merentasi platform media sosial.

 

Di samping itu, 'Singkap Sebalik Tingkap, video komersial Raya Astro berjaya memenangi hati penonton dengan kisahnya yang menyentuh hati. 

 

Ia telah merekodkan sejumlah 4.8 juta tontonan di platform digital dan berada di kedudukan ke-10 teratas
(Expert Choice Awards) untuk video-video terbaik musim Aidilfitri 2021, anjuran Marketing Magazine, sebuah portal pemasaran komunikasi industri negara.

 

Pada masa sama, Astro juga bekerjasama dengan McDeliivery, ‘Berbakti’ untuk menyampaikan bantuan
kepada keluarga-keluarga asnaf dan petugas barisan hadapan negara dengan melibatkan bakat-bakat ‘on-air’ Astro. - DagangNews.com