Program Felo MASA terima kelulusan Lembaga Pemegang Amanah untuk diteruskan | DagangNews Skip to main content

Program Felo MASA terima kelulusan Lembaga Pemegang Amanah untuk diteruskan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Program Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA) akan dilanjutkan pada tahun ini selepas menerima kelulusan daripada Lembaga Pemegang Amanah (BoT).

 

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd. Amin berkata, lanjuta program yang diperkenalkan pada 2021 itu membolehkan institut itu mengoptimumkan nasihat dan kepakaran secara langsung dalam pelbagai bidang penyelidikan melalui siri kuliah, perbincangan kumpulan fokus (FGD), bengkel dan penyediaan modul. 

 

Katanya, MASA berhasrat menjadi badan pemikir bebas yang mengangkat idea dan analisis dasar negara berpandukan nilai kemakmuran bersama selain menjadi pembangunan sosioekonomi Malaysia dalam konteks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

 

"Semua ahli yang dilantik berpengalaman luas dalam bidang masing-masing sama ada aspek ekonomi, sosial, politik atau pembangunan lestari, yang sudah pasti akan membantu MASA dalam menyediakan input cadangan dasar bagi membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 dan melaksanakan aspirasi WKB2030.

 

"Melalui program ini juga, bidang-bidang tumpuan penyelidikan lain MASA seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan sosiobudaya dapat dimantapkan sesuai dengan hasrat dan matlamat kami untuk menjadi antara badan pemikir bebas yang disegani dan menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Antara Felo Kehormat dan Felo yang dilantik ialah Profesor Ulung Ekonomi, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM), Prof. Ulung Dato’ Dr Rajah Rasiah; Rekktor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),  Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak; Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

 

ashwad
Ashwad Ismail

 

Selain itu, Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, UM, Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin;  Ahli MPN merangkap Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim; Profesor Kehormat Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan (CPDS), UM, Prof. Dr. Fatimah Kari dan Felo Penyelidik Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Dr. Shankaran Nambiar. 

 

Ahli Bersekutu yang dilantik pula dalam kalangan pemimpin muda seperti Ketua Pegawai Eksekutif, ASEAN Youth Network (AYN),  Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer; Pengasas SPOT Community Project Malaysia, Siti Aishah Hassan Hasri; Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Mohd Ismail Adnan.

 

Senarai penuh Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu boleh dilayari di laman web institutmasa.com. - DagangNews.com