KUALA LUMPUR 4 Dis - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan asas lebih murah antara 30 hingga 50% menerima sambutan masyarakat di seluruh negara hari ini.
PJKM diadakan serentak di 13 lokasi berbeza di seluruh negara sejak jam 7 pagi tadi melibatkan penjualan barangan asas termasuk ayam segar, sayuran, barangan proses dan keperluan harian.
Program ini dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Ia turut menerima sokongan pelbagai syarikat swasta yang terlibat dalam pengeluaran dan pemborongan produk barangan asas.
PJKM dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob poda Khamis lalu adalah inisiatif jangka pendek sebagai menyokong pelbagai langkah-langkah serta tindakan jangka panjang lain menangani impak kenaikan harga barang asas.
Program jualan ini diadakan serentak bermula jam 7 pagi tadi di Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Labuan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Jualan ini akan diadakan dua kali sebulan di seluruh negara dan lokasi berikutnya akan diumumkan KPDNHEP.
Tumpuan PJKM adalah di kawasan penduduk B40 dan M40 di seluruh negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu telah mengumumkan, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengimport sekurang-kurangnya 200 kontena ayam sejuk segar.
Manakala, ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan memasuki pasaran, manakala pengeksportan ikan dihentikan buat sementara waktu.
Bagi impak harga sayur, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan RM262 juta sebagai respons awal bagi membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun.
Dari jumlah itu, RM62 juta disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 bilion.
Sebanyak RM200 juta pula disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus, di samping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan di bawah Tekun Nasional (TEKUN) dan Agrobank untuk manfaat pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang terkesan. - DagangNews.com