KUALA LUMPUR 3 Nov - Seramai 305 siswazah belia Bumiputera dari seluruh negara terpilih untuk mengikuti Program JumPER GREAT (Graduate Entrepreneurship Training) PUNB 2023 yang dilancarkan secara rasmi di Kajang, Selangor, semalam.
Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria berkata, program JumPER GREAT menawarkan program latihan keusahawanan digital selama tiga bulan kepada siswazah Bumiputera di negara ini.
Katanya, JumPER GREAT menerima sambutan yang menggalakkan apabila menerima lebih daripada 1,000 permohonan dalam tempoh 24 jam sebaik permohonan dibuka pada 3 Oktober lalu.
"Program julung kali ditawarkan PUNB ini mendapat sambutan menggalakkan daripada siswazah Bumiputera berusia 30 tahun ke bawah yang berminat dalam bidang keusahawanan. Bagaimanapun, hanya 305 peserta dari seluruh negara dipilih untuk menyertai program ini.
"Dalam tempoh latihan ini, peserta akan menerima elaun bulanan serta layak menerima Geran Dana Permulaan Perniagaan untuk mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Fauzi berkata, PUNB sentiasa cuba memperkenalkan inisiatif baharu bagi menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera, sekali gus meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital, selaras dengan era digital.
"Sambutan menggalakkan yang diterima terhadap inisiatif baharu ini, menjadikan PUNB lebih bersemangat untuk memberi pendedahan inklusif kepada golongan belia supaya mereka menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya," katanya.
Inisiatif yang memperuntukkan dana sebanyak RM3.5 Juta ini turut menawarkan latihan, pemantauan dan konsultasi perniagaan.
Malah, peserta yang tidak mempunyai produk untuk dipasarkan, PUNB akan mengadakan padanan perniagaan dengan menghubungkan peserta dengann syarikat terpilih bagi membolehkan mereka memasarkan produk syarikat tersebut di platform niaga peserta.
PUNB juga akan menjalankan pemantauan dan memberi khidmat nasihat bagi memastikan teknik pemasaran yang dipelajari akan dipraktikkan sepenuhnya.
Peserta akan menyertai program secara fizikal dan dalam talian, antaranya program ‘boot camp’, program bina semangat, pembelajaran pemasaran digital dan sesi bimbingan dan pemantauan secara dalam talian. - DagangNews.com