Program solar berskala besar kembali dengan kuota 2GW, bidaan dibuka pada 1 April 2024 | DagangNews Skip to main content

Program solar berskala besar kembali dengan kuota 2GW, bidaan dibuka pada 1 April 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kerajaan bakal membuka semula bidaan program solar berskala besar (LSS) untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan tawaran kuota 2GW (gigawatt).

 

Suruhanjaya Tenaga akan mengeluarkan dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) program LSS kelima ini mulai 1 April ini.

 

Program LSS telah terhenti selama tiga tahun selepas kerajaan memilih sejumlah 30 bidaan di bawah LSS4 pada Mac 2021 untuk membangunkan ladang solar dengan kapasiti eksport antara 10MW hingga 50MW.

 

Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan media hari ini berkata, program baharu ini memperkenalkan kategori khas bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung dengan jumlah kuota 500MW (megawatt).

 

Selain itu, had penyertaan sebuah syarikat turut ditingkatkan sehingga 500MW.

 

“Pelaksanaan program LSS akan dibuat secara bidaan dan pada skala lebih besar bagi memastikan proses pemilihan pemaju telus dan adil, serta untuk mendapatkan tawaran tarif penjanaan tenaga pada kadar paling kompetitif,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

 

Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan program penjanaan tenaga rendah karbon menerusi mekanisme Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) dengan kuota sebanyak 400MW.

 

Fadillah berkata program ini adalah bagi membuka peluang penyertaan untuk pembangunan projek penjanaan daripada sumber bukan solar seperti sumber angin, hidro kecil, biogas, biojisim, hidrogen dan sebagainya.

 

Penyertaannya adalah berdasarkan prinsip ‘siapa cepat, dia dapat’ dan permohonan boleh dikemukakan mulai 5 Februari 2024 melalui laman sesawang Single Buyer di www.singlebuyer.com.my.

 

“Pelaksanaan program ini mampu meningkatkan daya harap bekalan elektrik dengan mempelbagaikan sumber penjanaan tenaga boleh diperbaharui serta akan membuka bidang ekonomi baharu kepada pemaju untuk membangunkan loji jana kuasa berdasarkan sumber bukan solar,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Fadillah turut berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melaksanakan projek rintis sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dengan jumlah kapasiti 400MWj pada suku tahun pertama 2024.

 

Beliau berkata, ia akan dikendali oleh Grid System Operator (GSO) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

“Pelaksanaan projek rintis BESS ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara melalui pengukuhan sistem rangkaian grid bekalan elektrik,” tambahnya. - DagangNews.com