Projek besar kerajaan dijangka diumum hanya selepas Belanjawan 2025 dibentangkan, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Projek besar kerajaan dijangka diumum hanya selepas Belanjawan 2025 dibentangkan, kata AmInvestment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Julai - Projek pembinaan awam berskala besar yang ditunggu-tunggu selama ini oleh pemain industri dijangka hanya akan diumumkan selepas Belanjawan 2025 dibentangkan iaitu pada penghujung 2024, kata AmInvestment Bank.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi subsidi petrol RON95 seterusnya mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik.

 

"Pasaran telah lama mempertimbangkan bahawa projek-projek besar kerajaan sedang berjalan. Tetapi realitinya berbeza; rundingan masih berterusan, dan pengurusan syarikat-syarikat pembinaan mengisyaratkan bahawa kelulusan hampir diperolehi. 

 

"Kami telah mendengar perkara ini sejak tahun lalu dan masih menunggu. Pandangan kami adalah bahawa kerajaan kemungkinan hanya akan membuat pengumuman selepas pengumuman Belanjawan 2025 pada akhir Oktober 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan tu, AmInvest menggambarkan sektor pembinaan tempatan seperti sedang menanti pintu air projek infrastruktur mega untuk dibuka. 

 

"Semua orang sudah bersedia dan menunggu; tetapi sehingga ia berlaku, mereka hanya mengambil apa yang dapat mereka capai untuk sementara waktu.

 

"Oleh itu, kami dapati sukar bagi industri ini untuk mencapai margin keuntungan kasar (GP) melebihi 10% yang dicapai sebelum pandemik. 

 

"Menurut pandangan kami, kemungkinan ia akan berada dalam julat 6-9%," ujar firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan 'Neutral' sektor pembinaan.

 

Sementara itu, AmInvestment membangkitkan mengenai kos inflasi yang didakwa telah berubah secara dramatic dalam dua bulan terakhir.

 

Katanya, harga simen misalna telah melonjak berikutan penyasaran subsidi diesel walaupun secara teknikal, ini sepatutnya tidak berlaku kerana sektor pembinaan tidak pernah menerima subsidi diesel. 

 

"Tetapi kita boleh mengandaikan bahawa beberapa pihak dalam industri telah mendapat manfaat daripada dasar ini dan kini cuba meneruskan peningkatan kos tersebut.

 

"Econpile menyatakan mereka mengalami kenaikan harga simen sebanyak 5% minggu lalu, dan mereka percaya lebih banyak kenaikan dijangka akan berlaku.

 

"Syukurlah, komponen kos lain seperti keluli dan rebar sedang mengalami penurunan selepas mencapai puncaknya kerana bekalan meningkat dan terdapat import yang lebih murah dari China," jelasnya. - DagangNews.com