Projek Eco World International di London rugi, Maybank IB tingkatkan unjuran kerugian pada FY23-25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Eco World International di London rugi, Maybank IB tingkatkan unjuran kerugian pada FY23-25

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerugian bersih Eco World International Berhad pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) lebih tinggi daripada jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

“Kerugian lebih tinggi daripada jangkaan disebabkan unit kediaman yang diserahkan di United Kingdom (UK) lebih rendah manakala kos tetap kekal tinggi.

 

“Namun, tunai bersih kumpulan bertambah baik kepada RM652.4 juta iaitu 27sen sesaham pada April 2023,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

Maybank IB berkata kerugian bersih RM33.2 juta pada suku tersebut melebarkan kerugian bersih enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (6MFY23) kepada RM38 juta, iaitu 52% lebih daripada ramalan kerugian bersih firma itu bagi tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Oleh itu, firma itu meningkatkan unjuran kerugian FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 116%, 48.5% dan 63.2% selepas mengambil kira kerugian yang lebih tinggi daripada projeknya di London.

 

Menurut firma itu, walaupun Eco World International akan kekal kerugian dalam jangka sederhana disebabkan memberi tumpuan kepada menghabiskan unit tidak terjual dan tidak melancarkan sebarang projek baharu, ia tidak akan menjejas keupayaan kumpulan untuk membayar pengagihan khas.

 

Selain itu, kumpulan itu berhasrat untuk menawarkan pakej insentif yang menarik dan tawaran pukal untuk menarik pembeli berpotensi untuk mempercepatkan momentum jualan.

 

Mengulas mengenai jualan hartanah kumpulan, Maybank IB berkata jualan dalam 7MFY23 adalah sebanyak RM918 juta, meletakkannya di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan RM1.4 bilion untuk FY23.

 

Oleh itu, kumpulan itu berada di landasan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan pengagihan khas sebanyak RM900 juta, di mana ia telah mendapat kelulusan pemegang saham untuk cadangan pengurangan modal.

 

“Pengurusan akan mengisytiharkan tranche pertama pengagihan khas sekurang-kurangnya RM300 juta, iaitu lebih 12.5 sen sesaham, menjelang Ogos 2023,” tambahnya.

 

Maybank IB menurunkan taraf saham kumpulan kepada ‘pegang’ memandangkan harga saham pada masa ini semakin hampir kepada harga sasaran (TP) firma iaitu 66 sen sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham Eco World International telah susut 0.5 sen atau 0.8% kepada 59.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.4 bilion. - DagangNews.com