Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis - Projek infrastruktur mega, Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dilihat akan 'berpihak' kepada Gamuda Bhd., IJM Corp. Bhd. dan HSS Engineers Bhd., menurut CGS-CIMB Research.
Dalam nota kajian, penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, ketiga-tiga syarikat tersebut memiliki keupayaan masing-masing dan juga rekod yang baik bagi projek MRT1 dan MRT2, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk merebut peluang dalam projek MRT3.
Bagi Gamuda, katanya, dengan memiliki keupayaan rel dan terowong ketika projek MRT1 dan MRT2 dijangka memberi syarikat kelebihan yang kukuh berbanding pembida lain untuk pakej bawah tanah MRT3.
IJM Corp pula memiliki kedudukan imbangan tunai yang kukuh selepas melupuskan pegangan dalam IJM Plantations dengan gearan bersih setakat akhir September 2021 pada 0.25x.
"Ini secara tidak langsung meletakkan syarikat sebagai pesaing kuat bagi pakej kerja awam peringkat 1 MRT3, yang disertakan dengan skop pembiayaan swasta.
"Kami juga memilih HSS Engineers kerana pelaksanaan MRT3 pada tahun hadapan memberi petanda baik untuk syarikat itu berdasarkan rekod prestasinya mendapatkan pakej perundingan pengurusan projek yang besar dalam MRT1 dan MRT2.
"Kebiasaannya, tender dan kontrak untuk perundingan kejuruteraan dan pengurusan projek adalah lebih awal daripada tender kerja awam," jelasnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut dengan saranan 'tambah' bagi Gamuda, IJM Corp. dan HSS Engineers dengan harga sasaran masing-masing pada RM3.88, RM2.17 dan 76.8 sen.
Firma itu baru-baru ini menganjurkan mesyuarat secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zariff Hashim untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai projek MRT3.
Hasil daripada taklimat itu, Sharizan berkata, pihak MRT Corp mendedahkan sasaran tempoh masa terkini bagi projek berkenaan yang harus dijadikan tumpuan.
"Kami dapati kemungkinan terdapat potensi Kabinet akan meluluskan model pembiayaan hibrid bagi MRT3 pada akhir tahun ini dan struktur projek akan dimuktamadkan pada suku pertama 2022 dan bagaimana kontraktor boleh melaksanakan bahagian pembiayaan swasta bagi kerja-kerja awam.
"Di samping itu, paparan awam selama 3 bulan bagi jajaran MRT3 akan dilaksanakan pada April (sebelum fasa pengambilan tanah), tender terbuka bagi kerja awam pada suku kedua, dengan minimum 6 bulan tempoh penilaian, kontrak kerja awam dianugerahkan pada suku keempat, paling awal dan bermulanya fasa insentf kerja awam pada 2023," katanya.
Beliau mendapati, di bawah strategi baharu MRT Corp., projek tersebut tidak akan melaksanakan struktur tunggal kontraktor turnkey seperti dalam MRT2, dan mungkin membahagikan skop kerja-kerja awam kepada 5 pakej utama.
Katanya, setiap pakej ini akan diketuai 1 kontraktor/konsortium yang akan melaksanakan pembiayaan swasta bagi tempoh 2 tahun pertama, sebelum kembali kepada pembiayaan penuh kerajaan dijangka pada 2024.
"Ini dilihat negatif buat usaha sama MMC-Gamuda, tetapi kemungkinan akan diberi pampasan oleh pakej terowong tunggal mengikut anggaran kami RM10 hingga RM15 bilion (kos RM1 bilion/km), disokong oleh rekod usaha sama yang baik ketika projek MRT1 dan MRT2.
"Untung mencapai kesan pengganda ekonomi yang lebih tinggi antara 3 hingga 4x berbanding 2x untuk MRT1 dan MRT2, rangkaian bekalan rel domestik perlu dimaksimumkan termasuk penggunaan sistem bangunan perindustrian (IBS) yang lebih tinggi dan lebih banyak pakej kerja untuk kontraktor," jelasnya.
Menurut Shahrizan, berdasarkan perkembangan terkini MRT3 itu, ia sepatutnya serba sedikit mampu meredakan kebimbangan pelabur sama ada projek ini akan bergerak ke hadapan atau tidak dengan peringkat pratender pada 2022.
Namun, beliau tidak menolak, projek tersebut masih berdepan risiko, antaranya, kelewatan Kabinet meluluskan model pembiayaan hibrid dan kadar ambilan yang rendah oleh kontraktor peringkat 1 yang kurang bersedia untuk mengambil risiko daripada pembiayaan.
"Selain itu, terdapat juga kemungkinan berlaku kelewatan dalam pengambilan tanah kerana kosnya ditanggung kerajaan dan boleh melambatkan kerja-kerja pembinaan," katanya.
Tetapi, jelasnya, jika kemajuan projek ini mula meraih momentum dalam beberapa bulan akan datang, kecenderungan terhadap MRT3 akan kembali semula dalam jangka masa pendek memandangkan persepsi pelabur semakin berkurangan disebabkan kelewatan dan juga kekurangan peruntukan pembangunan seperti diumumkan di bawah Bajet 2022.
Pada 16 November lalu, MRT Corp berkata, tawaran tender bagi projek MRT3 dijangka dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022 memandangkan kerajaan masih dalam peringkat akhir perincian mengenai pelan pembiayaan.
Perincian pelan pembiayaan ini dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini, sebelum dapat melaksanakan langkah seterusnya termasuk pembukaan tender. -DagangNews.com