Projek pembangunan The Langkasuka bernilai RM40 bilion bakal dimulakan pada 2Q2022 | DagangNews Skip to main content

Projek pembangunan The Langkasuka bernilai RM40 bilion bakal dimulakan pada 2Q2022

Projek pembangunan The Langkasuka bernilai RM40 bilion di Pulau Langkawi akan bermula tidak lama lagi.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Projek pembangunan bercampur The Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi akan dimulakan tidak lama lagi dengan majlis pecah tanah projek itu akan disempurnakan pada 2Q2022. 

 

Fasa pertama projek kerjasama Widad Business Group Sdn. Bhd. (WBG) dan Bin Zayed International LLC (BZI) dijangka siap dalam tempoh empat tahun selepas kedua-duanya memetrai perjanjian usahasama pada 7 Mac 2022 bagi mengukuhkan perkongsian mereka.

 

Menerusi perjanjian itu, WBG akan menguasai 70% kepentingan ekuiti dalam Widad BZI, manakala BZI yang berpangkalan di Dubai akan memiliki baki 30%. 

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, kedua-dua syarikat sedang giat menjalankan usaha dalam menjayakan projek mega itu.

 

"Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk Fasa Satu Langkasuka dianggarkan berjumlah RM4.5 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan BZI, Sheikh Midhat Kidwai berkata, pihak optimis dengan prospek projek berkenaan terutama ketika dunia sedang menuju ke arah pembukaan semula sempadan antarabansga.

 

"Malaysia dan Pulau Langkawi sentiasa mendapat sambutan bagi percutian antarabangsa dan BZI bersama WBG menjalinkan kerjasama untuk meneroka potensi besar pulau itu.

 

langkasuka

 

"Projek Langkasuka hanyalah pelaburan permulaan kami ke Malaysia, kerana kami berusaha untuk memanfaatkan peluang besar di Malaysia dengan memperoleh atau melabur dalam lebih banyak konsesi dan projek infrastruktur," katanya. 

 

BZI merupakan konglomerat terkemuka milik Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan yang merupakan anggota kanan keluarga diraja Abu Dhabi yang terlibat dengan perniagaan pengurusan hartanah, bangunan komersial dan menara.

 

BZI menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kemasuskan secara berperingkat bermula dengan pembangunan The Langkasuka. 

 

The Langkasuka adalah pembangunan seluas 2,000 ekar dengan hartanah bertaraf antarabangsa yang akan dibangunkan dalam dua fasa.

 

Fasa Satu melibatkan pembangunan padang golf di tepi laut serta vila-vila rumah peranginan dengan seni bina Melayu yang menyajikan pemandangan matahari terbenam di pulau itu.

 

Pembangunan tiu juga meliputi pusat beli-belah dengan jenama terkemuka antarabangsa, The Langkasuka Village untuk perniagaan produk kraftangan tempatan, hotel bertaraf lima bintang dan kondominium super mewah di pesisir laut. - DagangNews.com